Pages

Monday, December 7, 2009

Seminar Pemahaman JMB

Seminar Pemahaman JMB Bantu Komuniti Urus Dan Selenggara Bangunan
Sabtu, 05 December 2009

SHAH ALAM 5 Dis. -Bagi meningkatkan mutu dan taraf kualiti pengurusan dan penyenggaraan di kawasan pemajuan bertingkat, Kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor(LPHS) hari ini menganjurkan seminar Pemahaman Jawatankuasa Pengurusan Bersama(JMB).

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad berkata program seperti ini perlu diadakan bagi membantu peserta mempelajari dan memantapkan lagi pemahaman mengenai cara mengurus dan menyenggarakan bangunan dengan lebih berkesan.

“Adalah menjadi matlamat kerajaan negeri supaya seminar seperti ini dapat disertai oleh setiap ahli JMC dan penduduk agar pemahaman peranan,tugas dan tanggungjawab pengurusan dan penyenggaraan kawasan masing-masing menjadi lebih mudah dan efisyen,” katanya.

Iskandar berkata demikian semasa berucap merasmikan Seminar Pemahaman Jawatankuasa Pengurusan Bersama Peringkat Negeri Selangor di Hotel De Palma,Shah Alam, pagi tadi.

Hadir sama Pengarah Eksekutif HPLS,Alina Ahmad.

Seminar sehari ini dihadir lebih 300 peserta yang terdiri daripada ahli majlis, JMB dan penduduk kawasan pemajuan bertingkat seluruh Selangor.

Antara pengisian seminar termasuklah pemahaman mengenai Akta Bangunan dan Harta Bersama(Pengurusan dan Penyenggaraan 2007,Akta 663), asas-asas perakaunan, perkongsian pengalaman daripada JMB yang berjaya dan kaedah serta panduan penting mengenai pengurusan dan penyenggaraan harta bersama.

Dalam majlis sama, Iskandar turut menyampaikan sijil dan hadiah kepada pemenang program Anugerah Komuniti Terbaik Pemajuan Berstrata Negeri Selangor.

Katanya, anugerah yang mula diperkenalkan Oktober lalu bertujuan untuk memberi galakan kepada semua JMB agar bergiat aktif dan bersaing secara sihat dalam menjaga keharmonian dan kebersihan kawasan masing-masing.

“Program ini diadakan untuk membentuk dan mewujudkan unit-unit komuniti yang pro aktif dengan mengekalkan keselesaan persekitaran perumahan dan kesejahteraan kaum,” katanya.

Katanya sebanyak 27 kawasan telah berjaya melepasi saringan akhir melibatkann 3 kategori iaitu pangsapuri kos rendah, sederhana dan tinggi.

Sumber: http://www.selangorkini.com.my/my/berita/7989

Seminar tersebut telah dihadiri oleh 7 orang AJK pihak JMB "PK SEK: 7 COMMITTEE" dan dalam seminar tersebut pihak kami telah menerima ANUGERAH JMB bergred 'BAIK' di dalam program Anugerah Komuniti Terbaik Pemajuan Berstrata Negeri Selangor, Syukur Al-hamdulillah...