Wednesday, September 30, 2009

Restoran ganggu penduduk?

Sumber: Utusan Malaysia Online

Restoran ganggu penduduk?
Oleh Rasmi Abdullah

SALAH sebuah restoran 24 jam yang beroperasi di kawasan perumahan Pusat Komersial Seksyen 7 Shah Alam, Selangor.


SHAH ALAM 28 Sept 2009. - "Kawasan ini kalau dilihat memang boleh dianggap syurga makanan bagi mereka yang mahu menjamu selera tetapi bagi kami di sini, ia umpama neraka".

Itulah keluhan penduduk kawasan perumahan Pusat Komersial Seksyen 7 di sini apabila kawasan kediaman mereka dipenuhi dengan kedai makan yang beroperasi 24 jam.

Mereka mendakwa, kewujudan 24 buah restoran 24 jam di kawasan itu menyebabkan kawasan tersebut menjadi tumpuan orang ramai sepanjang masa sehingga ketenteraman penduduk di situ terganggu.

Malah, penduduk mendakwa pengunjung kedai makan berkenaan bersikap tidak peduli serta tidak menghormati penduduk dengan membuat bising tanpa mengira waktu termasuk pada awal pagi ketika mereka hendak tidur.

Setiausaha Badan Pengurusan Bersama (JMB) Pusat Komersial Seksyen 7 Shah Alam, Mohd. Razib Mustafa berkata, keadaan akan bertambah teruk apabila premis-premis makanan berkenaan menayangkan perlawanan bola sepak terutama ketika lewat malam.

"Kalau pasukan yang mereka sokong menjaringkan gol, penyokongnya akan menjerit sama seperti mereka berada di stadium. Ketika itu, saya rasa seperti tidur di tengah-tengah stadium bola pula.

"Kita yang dewasa ini tak apalah kalau terjaga pada waktu begitu (lewat malam) tetapi macam mana dengan anak-anak kecil yang tidak tahu apa-apa, lebih sukar lagi apabila ada keluarga yang mempunyai bayi," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Tambah Mohd. Razib, pengusaha premis makanan 24 jam itu juga didapati mengubah suai kedai mereka sehingga ke koridor pejalan kaki menyebabkan lalu lintas di kawasan itu terganggu.

Dakwanya, ada sesetengah tangga yang digunakan penghuni untuk naik ke rumah mereka juga telah digunakan oleh pengusaha premis terbabit untuk meletakkan barang-barang perniagaan mereka.

Lebih menyedihkan, katanya, ada setengah-tengah peniaga yang tidak bertanggungjawab membakar sate berhampiran dengan kenderaan mereka termasuklah menggunakan tapak letak kereta penghuni untuk meletakkan kerusi meja mereka.

"Tindakan tidak bertanggungjawab ini menyebabkan tempat letak kereta tidak mencukupi dan kadang kala ada penduduk terpaksa meletak kenderaan di tengah-tengah jalan," jelasnya.

Katanya lagi, walaupun aduan telah dilakukan kepada pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada Januari lalu tetapi tiada sebarang tindakan daripada pihak berkuasa tempatan berkenaan sehingga ke hari ini.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa JMB, Saharuddin Lin, 44, pula berkata, kegusaran mereka memuncak pada hujung minggu kerana pada waktu itu kawasan tersebut sesak dengan kenderaan.

Kata Saharuddin, pengunjung premis makanan itu akan meletakkan kenderaan mereka secara sesuka hati sehingga menyebabkan jalan yang sepatutnya mempunyai dua lorong bertukar menjadi satu lorong sahaja.

"Keadaan seperti ini dikhuatiri mengundang kemalangan jalan raya. Saya sudah lihat sudah banyak kemalangan yang berlaku di sini," ujar beliau.

"Saya sendiri sudah banyak kali disaman oleh penguatkuasa MBSA kerana meletakkan motosikal di tempat yang salah, tetapi sebagai penghuni di situ di mana lagi kami hendak meletakkan kenderaan kalau macam inilah keadaannya," keluh beliau.

Dalam pada itu, seorang lagi Ahli Jawatankuasa JMB, Roslan Razali berharap pihak MBSA menyegerakan pembinaan tempat meletak motosikal kerana dia sudah tidak mampu untuk membayar saman.

Selain itu, beliau juga turut berharap pihak MBSA dapat membuat pemantauan terhadap kedai-kedai makan yang beroperasi 24 jam itu kerana ia amat mengganggu ketenteraman penduduk di situ.