PERATURAN DALAMAN (HOUSE RULES)
BAHAGIAN I: KESELAMATAN
KESELAMATAN KAWASAN 
Penghuni  diminta untuk menjaga keselamatan unit (rumah atau kedai) sendiri.   Sekiranya anda ingin meninggalkan rumah, pastikan pintu berkunci. Sila  laporkan kepada pihak polis yang berhampiran sekiranya berlaku kejadian  yang tidak diingini seperti pecah rumah, kecurian barang dan seumpama  dengannya.
PEMASANGAN GRIL KESELAMATAN 
Anda  dinasihatkan agar menjaga keselamatan unit masing-masing misalnya  dengan memasang gril keselamatan pada pintu, tingkap atau balkoni.  Bagaimanapun, bagi menjaga keindahan bangunan dan untuk menentukan  keseragaman, gril keselamatan hendaklah mengikut reka bentuk yang  ditetapkan. Sila hubungi pihak pengurusan untuk menyemak reka bentuk  yang dibenarkan. 
BAHAGIAN II:  KEBERSIHAN
KEBERSIHAN KAWASAN BERSAMA 
Kerja-kerja  menyenggarakan kebersihan di kawasan bersama akan dikendalikan oleh  syarikat/pekerja yang dilantik oleh pihak pengurusan. Sila beri  kerjasama kepada mereka agar tugas mereka dapat dijalankan dengan  sempurna. Apa-apa aduan mengenai ketidaksempurnaan tugas yang dijalankan  hendaklah dikemukakan kepada pihak pengurusan menggunakan borang aduan  yang disediakan. 
PEMBUANGAN SAMPAH 
Anda  dilarang sama sekali membuang sampah merata-rata. Sekiranya kami  mendapat aduan berkenaan unit anda, pihak pengurusan akan membuat  siasatan dan mengambil tindakan yang sewajarnya.
Tentukan  sampah dibuang dengan sempurna seperti memasukkannya dengan baik dalam  beg plastik sebelum dibuang ke dalam tong sampah yang telah disediakan  oleh pihak pengurusan. Barang-barang lusuh yang besar seperti perabot  atau alat elektrik hendak tidak dibuang di tempat pembuangan sampah  awam.  Anda bertanggungjawab melupuskannya sendiri melalui cara yang  sesuai. Sekiranya didapati barang-barang lusuh tersebut dibiarkan di  kawasan bersama, pihak pengurusan akan melupuskannya dan kos akan  dituntut daripada penghuni petak berkenaan. 
Anda juga  dilarang membuang sampah di kawasan ‘airwell’ (kawasan di sebelah dapur)  bagi mengelakkan sistem paip tesumbat dan boleh mengakibatkan pembiakan  nyamuk.
Bagi pemilik  unit di tingkat satu, sekiranya kawasan airwell tersebut dipenuhi sampah  dan ditakungi air, sila maklumkan segera kepada pihak pengurusan. Grill  besi (sekiranya ada) hendaklah dibuka untuk memudahkan pekerja  pembersihan menbuat kerja penyelenggaraan.
Bagi pemilik  dan penyewa restoran pula, anda tidak dibenarkan membuang sisa-sisa  makanan, lemak dan sebagainya ke dalam longkang untuk mengelakkan  berlakunya sumbatan yang juga akan menjadi tempat pembiakan nyamuk  aedes.
BAHAGIAN III: PENGGUNAAN DAN PENJAGAAN HARTA BERSAMA
Harta bersama  meliputi bahagian bangunan dan tanah di mana bangunan yang tidak  termasuk dalam sebarang petak atau petak aksesori dan baki lot yang  tidak terkandung dalam mana-mana blok sementara. 
Contoh harta  bersama ialah papan notis, tangga, gril untuk masuk dan  keluar(berhampiran tangga), koridor, tong sampah, rumah sampah, kawasan  longkang,  tangki air, pembetung, paip, wayar, kabel dan saluran yang  memberi kemudahan kepada lebih daripada satu petak; bahagian luar semua  bahagian bersama bangunan, surau, padang permainan dan kawasan rekreasi,  jalan masuk, ruang terbuka, kawasan landskap, dan segala kemudahan dan  pemasangan lain dan mana-mana bahagian tanah yang digunakan atau boleh  digunakan atau dinikmati bersama oleh semua penghuni bangunan itu. 
Kerjasama anda  adalah dipohon untuk menentukan harta bersama dapat dijaga dengan baik  agar kita dapat memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang disediakan dan  tiada seorang pun daripada kita dinafikan daripada menikmati kemudahan  tersebut. Dengan itu anda atau mana-mana orang yang menjadi penghuni  bersama atau tetamu anda DILARANG daripada melakukan perkara yang berikut: 
1.      Merosakkan atau mencacatkan mana-mana bahagian harta bersama;
2.      Membiarkan  binatang belaan aatau ternakan di luar unit masing-masing sehingga  mengganggu atau menimbulkan kemarahan penghuni lain;
3.      Memasak atau mengadakan jamuan atau apa-apa majlis di kawasan bersama tanpa mendapat kelulusan pihak pengurusan;
4.      Menyidai pakaian seperti di balkoni, tingkap atau koridor sehingga merosakkan pandangan kawasan;
5.      Membuat bising sehingga mengganggu penghuni lain;
6.      Menggunakan perkataan atau mempamerkan perilaku yang menimbulkan kemarahan panghuni lain atau yang memalukan;
7.      Meletakkan kereta, motorsikal atau apa-apa jenis kenderaan lain tidak ditempat yang dikhaskan;
8.      Meletakkan tanda arah, menampal poster atau notis di mana-mana bahagian harta bersama tanpa kebenaran pihak pengurusan;
9.      Mengubah lokasi mana-mana struktur atau bahagian harta bersama seperti yang telah disebutkan di atas;
10.  Membiarkan  tetamu atau pelawat menggunakan kemudahan harta bersama seperti padang  permainan atau yang seumpamanya tanpa diiringi oleh penghuni. Penghuni  bertanggungjawab ke atas kerosakan atau kecacatan yang disebabkan oleh  tetamu atau pelawat mereka dan perlu memaklumkan jabatan keselamatan  atau pihak pengurusan segera;
11.  Membiarkan  kanak-kanak berumur di bawah 12 tahun menggunakan kemudahan harta  bersama tanpa diiringi oleh ibu bapa atau orang dewasa;
12.  Berpakaian tidak sopan atau tidak sesuai semasa berada di kawasan luar daripada unit sendiri.
13.   Dilarang melakukan kerja-kerja pengubahsuaian unti kediaman atau kedai pada hari ahad, cuti umum dan selepas waktu pejabat.
PENGGUNAAN SURAU
1.      Kepada umat Islam khasnya, penting bagi kita menjaga kebersihan surau;
2.      Menjaga peralatan dan harta benda surau;
3.      Padamkan lampu dan kipas setelah selesai menggunakan surau;
4.      Tutup pili air selepas habis berwuduk; dan
5.      Sentiasa laporkan kepada pihak pengurusan sekiranya terdapat sebarang kerosakan. 
BAHAGIAN IV: PENJAGAAN UNIT INDIVIDU
Sebagai  pembeli petak atau penyewa, anda bertanggungjawab menjaga dan  menyelenggara petak atau unit masing-masing. Sekiranya anda menyewakan  atau menyerahkan unit anda untuk diduduki oleh orang lain, anda  bertanggungjawab memaklumkan kepada pihak pengurusan beberapa maklumat  tentang penyewaan ini seperti nama penyewa atau penghunl, bilangan isi  rumah dan tempoh penyewaan. Anda juga bertanggungjawab memaklumkan  segera kepada pihak pengurusan apabila berlaku pertukaran penyewa atau  penghuni.
Untuk menjaga  keselamatan dan mengekalkan keharmonian komuniti kita, anda dipohon  untuk mematuhi beberapa peraturan berikut dan pastlkan juga mereka yang  menghuni unit anda diberitahu tentang peraturan-peraturan ini. 
1.      Menjaga  dan menyelenggara unit masing-maslng dan menjalankan kerja-kerja  pembaikan yang sewajarnya dari semasa ke semasa agar unit sentiasa dalam  keadaan baik dan selamat daripada kebakaran dan bencana lain yang boleh  dikawal, Pihak pengurusan hanya menguruskan penyelenggaran kawasan  harta bersama sahaja;
2.      Menggunakan  unit hanya untuk tujuan yang ditetapkan dalam syarat-syarat penggunaan  unit dan perjanjian jual beli. Pihak pengurusan akan melaporkan kepada  plhak berkuasa berkenaan jika didapati unit digunakan untuk tujuan yang  menyalahi undang-undang;
3.      Tidak  menggunakan dan membenarkan unit digunakan untuk suatu maksud yang  boleh menyebabkan berlakunya kacau ganggu atau bahaya kepada mana-mana  penghuni lain atau keluarga penghuni itu;
4.      Tidak  menggunakan bahan api atau apa-apa bahan atau material yang boleh  mendatangkan asap atau wasap (fumes) atau bau yang buruk;
5.      Tidak membuang atau membenarkan jatuh, apa-apa kotoran atau sampah atas harta bersama atau airwell iaitu ruang kosong bersebelahan dapur; kecuali ke dalam tong-tong sampah yang disenggarakan sendiri oleh anda;
6.      Tidak  membuat apa-apa pemasangan yang boleh merosakkan pandangan atau sesuatu  tindakan yang boleh menyebabkan halangan atau kacau ganggu, misalnya  memasang antena TV di tempat yang tidak sesuai atau menyimpan barang  persendirian di kawasan harta bersama seperti di tepi koridor, tangga  atau tempat letak kereta atau kawasan lapang lain;
7.      Tidak menyebabkan keadaan bising atau apa-apa keadaan yang keterlaluan sehingga boleh mengganggu jiran atau penghuni lain;
8.      Melaksanakan  segera tindakan atau apa-apa kerja yang diarahkan oleh mana-mana pihak  berkuasa yang berkaitan dengan unit dan membayar segala taksiran, caj  dan belanja pasti yang kena dibayar berkenaan dengan unit berkenaan; dan
9.      Membenarkan pihak pengurusan atau mana-mana orang yang diberi kuasa untuk memasuki unit individu untuk tujuan yang berikut: 
a)      Memeriksa unit berkenaan;
b)      Menyenggara,  membaiki atau membaharui paip, wayar, kabel dan saluran yang digunakan  atau boleh digunakan berkaitan dengan penikmatan mana-mana petak lain  atau harta bersama;
c)      Menyelenggara, membaiki dan membaharui harta bersama; atau
d)      Melaksanakan  apa-apa tindakan yang perlu bagi atau berkaitan dengan pelaksanaan  tugas pihak pengurusan atau penguatkuasaan undang-undang atau peraturan  yang melibatkan unit atau bangunan. 
Pihak  pengurusan akan mengeluarkan notis tidak kurang daripada tujuh (7) hari  sebelum tindakan berkenaan dilakukan, kecuali dalam hal kecemasan yang  memerlukan tindakan segera. 
BAHAGIAN V: KERJA-KERJA PENAMBAHAN DAN PENGUBAHSUAIAN
Tertakluk  kepada Perjanjian Jual dan Beli, anda boleh membuat tambahan atau  pengubahsuaian pada unit anda. Bagi menentukan kerja-kerja tersebut  dapat dilaksanakan dengan teratur, anda dipohon untuk mematuhi beberapa  peraturan berikut: 
1.      Kerja-kerja penambahan atau pengubahsuaian mesti mendapat kelulusan pihak berkuasa yang berkenaan;
2.      Sebelum kerja-kerja tersebut dimulakan, salinan pelan yang diluluskan hendaklah diserahkan kepada pihak pengurusan;
3.      Bagi  kerja-kerja tambahan atau pengubahsuaian yang melibatkan pendawaian  elektrik dan bekalan air atau yang tidak memerlukan kelulusan pihak  berkuasa, kelulusan perlu diperoleh daripada pengurusan sebelum  kerja-kerja dimulakan (Peraturan yang lebih terperinci dan khusus kepada  kerja-kerja berkenaan boleh dimasukkan dalam surat kelulusan);
4.      Pengawasan  rapi hendaklah dilakukan untuk menentukan kerja-kerja yang dijalankan  tidak menjejaskan struktur bangunan atau harta bersama serta tidak  menimbulkan kacau ganggu kepada penghuni lain;
5.      Bertanggungjawab ke atas apa-apa kecacatan atau kerosakan pada bangunan atau harta bersama yang disebabkan oleh kerja-kerja ini;
6.      Tidak  melibatkan pihak pengurusan dalam apa-apa prosiding undang-undang yang  berbangkit. Untuk maksud ini anda perlu menandatangani satu surat  jaminan sebelum kerja-kerja dimulakan;
7.      Memastikan  bahawa sekiranya berlaku apa-apa kerosakan atau kecacatan pada bangunan  atau harta bersama, ia hendaklah diperbaiki dengan sempurna. Sekiranya  pihak pengurusan tidak berpuas hati, pihak pengurusan berhak melantik  kontraktor menyempurnakan kerja-kerja ini dan kosnya akan dibuat ke atas  anda;
8.      Memastikan  bahawa semua barang terbuang atau sampah dilupuskan segera dengan  sempurna. Sekiranya pihak pengurusan tidak berpuas hati dengan cara  pelupusan ini, pihak pengurusan berhak melantik kontraktor  menyempurnakan kerja-kerja pelupusan ini dan kosnya akan ditolak  daripada wang deposit dan jika tidak mencukupi tuntutan ke atas tambahan  ini akan dibuat ke atas anda.
9.      Dilarang melakukan kerja-kerja pengubahsuaian unit kediaman atau kedai pada hari ahad, cuti umum dan selepas waktu pejabat.
 
No comments:
Post a Comment