Pages

Friday, December 17, 2010

HIMPUNAN ARKIB AKHBAR/ BERITA JMB








Standard urus harta diperkenal

KUALA LUMPUR 28 Julai - Standard Pengurusan Harta Malaysia yang diperkenalkan oleh Lembaga Penilai, Pentaksir dan Ejen Hartanah Malaysia (LPPEH) diyakini mampu menangani masalah dalam mengurus dan menyelenggara bangunan.

Malah, standard itu wajar diguna pakai sebagai panduan mengurus oleh Badan Pengurusan Bersama (JMB) di pangsapuri di Lembah Klang.

Presiden LPPEH, Datuk Abdullah Thalith Md. Thani berkata, standard yang mula diedarkan sejak Jun lalu itu merupakan panduan hartanah paling terkawal dan lengkap terutama dalam pengurusan bangunan bertingkat.

Menurutnya, ia digubal memandangkan terdapat banyak aduan daripada pemilik berhubung pengurusan bangunan bertingkat seperti kondominium dan pangsapuri yang diterima oleh pihaknya.

Katanya, kod amalan yang dikeluarkan dalam bentuk buku yang mengandungi kira-kira 27 muka surat itu antaranya menerangkan beberapa perkara berkaitan pengurusan bangunan seperti definisi badan pengurusan dan penyenggaraan, perundangan, pengurusan pentadbiran dan sebagainya.

"Di bawah standard itu juga diterangkan mengenai peranan dan fungsi pengurus harta, pelantikan pengurus harta, pengurusan bangunan, selain pengurusan kewangan bagi membolehkan ia lebih mudah difahami," ujarnya selepas melancarkan Standard Pengurusan Harta Malaysia di sini baru-baru ini.

Pada majlis itu, sebanyak 30 wakil pihak berkuasa tempatan terutamanya dari Lembah Klang menerima buku panduan tersebut untuk dijadikan rujukan.

Beliau berkata, memandangkan JMB ialah satu jawatankuasa yang dianggotai dan ditadbir oleh pemilik atau penduduk sendiri, kebanyakan mereka mempunyai pengetahuan amat terhad dalam bidang pengurusan harta.

Sebaliknya, pengurus harta sepatutnya ialah badan profesional yang diiktiraf oleh LPPEH, terlatih dan sangat mahir di dalam selok-belok penjualan, perundangan dan perbankan.

Beliau turut berharap dengan pengenalan standard amalan itu, ia akan membantu meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan pengurusan dan penyenggaraan mengikut undang-undang sedia ada.

"Lebih daripada itu, ia akan membantu mewujudkan hubungan yang lebih baik antara pemilik dan pihak pengurusan harta," katanya.

Sumber : Utusan


COB Perlu Guna Kuasa Bantu JMB Dan MC Urus Dan Senggara Bangunan Strata

COB Perlu Guna Kuasa Bantu JMB Dan MC Urus Dan Senggara Bangunan Strata

GEORGE TOWN, 31 Julai (Bernama) -- Pesuruhjaya Bangunan (COB) perlu menggunakan kuasa yang ada memandangkan sebahagian daripada Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) bagi bangunan berstrata tidak berfungsi dengan berkesan dalam kerja-kerja pengurusan dan penyelenggaraan bagi bangunan berstrata.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Chor Chee Heung berkata ini kerana masih banyak masalah yang timbul seperti pembeli atau pemilik bangunan tidak membayar caj penyelenggaraan kepada pihak pengurusan, kutipan caj penyelenggaraan dan dana pembayaran hutang tidak cukup untuk menampung kos penyelenggaraan dan membaik pulih bangunan.

"Oleh itu, COB perlu menggunakan kuasanya untuk membantu tugas JMB dan MC bagi menyelesaikan pertikaian yang timbul," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar Pengurusan Bangunan Berstrata kepada JMB peringkat zon Utara pada hari Sabtu.

Chor berkata sehingga 31 Dis 2009 terdapat sebanyak 11,981 kawasan pemajuan berstrata telah dikenalpasti dan daripada jumlah itu 1,931 adalah bangunan berstrata yang terdapat di zon Utara iaitu Pulau Pinang (1,590), Perak (199) dan Kedah (142).

Beliau berkata daripada 11,981 hanya 5,480 kawasan pemajuan berstrata yang telah menubuhkan JMB dan MC.

Katanya kurang kefahaman mengenai peruntukan Akta 663 dan aspek pengurusan dan penyelenggaraan bangunan dan harta bersama merupakan punca utama pembeli dan pemilik bangunan tidak membayar caj penyelenggaraan kepada pengurusan.

Akta 663 merupakan Akta Bangunan dan Harta Bersama (Penyelenggaraan dan Pengurusan) 2007 yang telah diperkenalkan pada 12 April 2007.

Katanya akta tersebut diperkenalkan bagi mengatasi isu pembeli yang lewat memperoleh hak milik strata dan memperkemaskini kaedah penyelenggaraan dan pengurusan bangunan berstrata.

Chor juga mengingatkan penghuni bangunan berstrata supaya menjaga hubungan baik kerana setiap pembeli terikat dengan petak yang dibeli sebagai pelaburan seumur hidup.

"Semua penghuni berkongsi semua harta bersama seperti lif, tangga, taman, kolam, tangki, bumbung, paip kumbahan, bilik serbaguna dan lain-lain, oleh itu keputusan secara kolektif amat penting bagi mencari penyelesaian," katanya.

-- BERNAMA 31 Julai 2010


Guna model pengurusan pangsapuri Singapura

KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar bercadang mempraktikkan model pengurusan pangsapuri diguna pakai di Singapura bagi menangani masalah penduduk yang culas membayar bil penyelenggaraan khususnya di pangsapuri kos rendah swasta.

Menterinya, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, di negara itu kerajaannya bersikap tegas dengan penduduk pangsapuri termasuk bertindak menyekat bekalan air dan elektrik jika masalah bayaran tidak diselesaikan.


Menurutnya, model seumpamanya akan dibentangkan di Parlimen dalam jangka masa terdekat berikutan masalah berkaitan bayaran bil penyelenggaraan penduduk pangsapuri menyebabkan bebanan kepada kerajaan.


Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan bantuan pam air dan perasmian surau At-Tohiriah di Pangsapuri Suci, di sini, semalam.


“Masalah penduduk yang tidak berdisiplin membayar bil penyelenggaraan sebenarnya bukan saja menyusahkan penduduk yang lebih bertanggungjawab berbuat demikian, malah kepada kerajaan apabila terpaksa menanggung kos kemudahan digunakan mereka sendiri.


“Sebagai contoh lebih 50 peratus Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB) pangsapuri menghadapi kesulitan menguruskan pangsapuri mereka apabila wang tiada disebabkan perkara ini.


“Kementerian terpaksa menubuhkan Skim Tabung Penyelenggaraan untuk menangani masalah. Setakat ini kita ada peruntukan sebanyak RM35 Juta tetapi dana ini bukan untuk bayar bil penyelenggaraan, bil api atau bil air penduduk,” katanya.

Sumber : Harian Metro 30 Jun 2010


Tiada hasil, tiada cukai pintu

Oleh Abdullah Wahab
abwahab@hmetro.com.my
2010/04/22

SHAH ALAM: Kerajaan negeri bersetuju untuk tidak mengenakan cukai pintu kepada premis perniagaan dan rumah kedai yang belum diduduki atau mendapat sewa dan pemilik terbabit perlu membuat permohonan itu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata keputusan itu dibuat menerusi mesyuarat exco semalam selepas mengambil kira dan melihat keadaan di Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa, Hulu Selangor kerana banyak rumah kedai dan premis perniagaan yang dimiliki pelabur tidak mendapat hasil berikutan tiada penyewa dan tidak diduduki.


Menurutnya, untuk permulaan, kerajaan negeri akan memberi fokus kepada Hulu Selangor terlebih dulu sebelum ia diperluaskan kepada PBT lain di seluruh Selangor.


“Permohonan ini boleh dibuat sekarang dan ia berkuat kuasa 1 Mei ini.


“Pemilik premis perniagaan boleh membuat permohonan kepada PBT Hulu Selangor untuk mengecualikan daripada membayar cukai sehingga mereka mendapat hasil atau menduduki premis itu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, di sini, semalam.


Tukar meter

Oleh Abdullah Wahab
abwahab@hmetro.com.my
2010/04/22

SHAH ALAM: Penghuni pangsapuri atau strata di Selangor kini boleh menarik nafas lega apabila kerajaan negeri bersetuju memberikan 20 meter padu air percuma kepada perumahan bertingkat yang menggunakan meter air pukal.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri, Iskandar Abdul Samad, berkata bagaimanapun kerajaan negeri meminta penduduk pangsapuri atau strata yang lain melakukan migrasi ke meter individu sebelum mereka boleh menikmati skim air percuma itu.


Menurutnya, bagi memastikan warga Selangor terutama yang berpendapatan rendah menikmati skim air percuma sebelum migrasi dapat dilakukan, kerajaan negeri akan mengeluarkan kupon yang bersamaan dengan nilai 20 meter air padu.


“Kupon ini akan diedarkan menerusi pesuruhjaya bangunan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) kepada penduduk menerusi pemaju, ejen pengurusan, Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC).


“Skim ini akan dilaksanakan di beberapa kawasan perintis terlebih dulu mulai Jun ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat Exco yang dipengerusikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, di sini, semalam.


Sehingga kini, terdapat 620 pembangunan pangsapuri kos rendah yang belum melakukan migrasi merangkumi 168,479 unit kediaman.


Iskandar berkata, kos pemberian air percuma kepada pangsapuri itu dianggarkan berjumlah RM24,422,715.84.


Katanya, bagaimanapun penyelesaian jangka panjang migrasi kepada meter individu mestilah dilakukan segera, sekali gus dapat memberi manfaat kepada warga Selangor.


Sementara itu, dalam kes berasingan, Iskandar berkata, masalah sijil layak menduduki (CF) membabitkan pemilik di lima pembangunan di Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa selesai selepas kerajaan negeri bersetuju membuat satu kaedah untuk menyelesaikan masalah itu yang berlarutan sejak 2002.

Katanya, sebelum ini, pembangunan di situ hanya dikeluarkan sijil layak menduduki sementara (TCF) kerana terdapat jalan yang tidak lagi dibina dengan sepenuhnya oleh pemaju.


“Hari ini (semalam) kerajaan negeri setuju untuk melengkapkan pembinaan jalan itu dan kosnya akan dicaj kepada pemaju atau kumpulan syarikat pemaju terbabit.


“Oleh itu, sijil layak menduduki boleh dikeluarkan secepat mungkin untuk 1,521 unit kediaman terbabit,” katanya menambah majlis penyerahan itu akan dilaksanakan Khalid pada hari ini jam 8 malam di Jalan Widuri, Seksyen BB 18, Bukit Beruntung.


Tak bayar yuran punca tidak senggara

KUALA LUMPUR 24 Feb. - Bagaimana penyenggaraan hendak dilakukan dengan sempurna dan mengikut jadual sekiranya hanya 20 peratus penduduk sahaja yang membayar caj bulanan.

Itulah yang dipersoalkan oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) kepada penghuni Apartmen Sri Pulai, Puchong Hartamas yang mengadu apartmen itu tidak disenggara oleh pemaju.

MPSJ dalam satu kenyataan di sini hari ini memberitahu, masalah yang dihadapi penduduk di kawasan perumahan itu adalah kerana tiada pihak yang menguruskan apartmen sejak 1 September tahun lepas.

"Masalah itu menyebabkan sampah tidak dikutip selain tunggakan bil air dan elektrik sudah mencecah RM23,292.26 dan perlu dijelaskan dalam tempoh 14 hari dari tarikh 13 Januari lalu," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu adalah jawapan kepada laporan Utusan Malaysia yang menyiarkan kesengsaraan penduduk Apartmen Sri Pulai yang sudah lebih enam bulan menderita akibat pemaju yang menguruskan pangsapuri itu 'melarikan diri'.

Penduduk juga dikatakan ditinggalkan pemaju dalam keadaan serba daif tanpa bekalan air dan tiada penyenggaraan sistem kumbahan sejak setengah tahun lalu.

Kenyataan itu menjelaskan, pemaju apartmen itu, Five Star Development (Puchong) Sdn. Bhd. telah mengeluarkan notis penyerahan pengurusan bangunan kepada badan pengurusan bersama (JMB) Apartmen Sri Pulai pada 12 Jun dan 1 Ogos tahun lalu.

Justeru, pemaju terbabit telah menghentikan tindakan menguruskan bangunan itu pada 31 Ogos tahun lepas.

Bagi membantu penduduk, pihak MPSJ telah membuat lawatan tapak pada 23 Disember dan membantu membersihkan kawasan tersebut termasuk memotong rumput.

Jelas kenyataan itu lagi, pihak MPSJ juga sudah mengadakan mesyuarat pada 29 Disember tahun lepas dan mesyuarat kedua pada 17 Januari lepas bersama penduduk

"Selain itu, MPSJ dimaklumkan yang pemaju akan membantu JMB untuk mengambil alih pengurusan serta kerja-kerja pengurusan bangunan.

"Yang Dipertua MPSJ juga sudah meminta pemaju membaiki dewan selain merobohkan pondok haram yang didirikan di luar kawasan apartmen bagi memudahkan JMB menguruskan kawasan itu kelak," ujar kenyataan itu.


Pemaju gagal tubuh JMB akan didakwa

SHAH ALAM - Kerajaan negeri akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pemaju perumahan yang gagal menubuhkan Badan Pengurusan Bersama (JMB) sebelum 12 April tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad (gambar) berkata, mereka akan didakwa kerana melanggar Akta Bangunan dan Harta Bersama (Penyelenggaraan dan Pengurusan) 2007 (Akta 663).

Katanya, mengikut statistik penubuhan JMB sehingga Disember 2008 hanya 26 peratus pemaju menubuhkan JMB dan langkah seterusnya adalah pendakwaan. Dalam peruntukan boleh didenda sehingga RM10,000.

“Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor akan mengadakan bengkel untuk mendakwa pemaju yang ingkar kerana arahan sudah diberi hampir setahun untuk menubuhkan JMB,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang medianya semalam berhubung prosiding mesyuarat pertama JMB bagi semua kawasan pemajuan strata di negeri Selangor.

Menurutnya, garis panduan mengenai prosiding mesyuarat pertama badan pengurusan bersama bagi kawasan berkenaan diluluskan melalui Mesyuarat Kerajaan Negeri 21 Januari lalu dan berkuat kuasa serta-merta.

“Kaedah penyerahan notis pada mesyuarat pertama perlu secara sendiri atau melalui pos berdaftar; atau meletakkan notis atau perintah pada bahagian utama alamat perniagaan, petak atau kediaman akhir orang yang hendak disampaikan.

“Pengerusi pertama JMB boleh dipilih oleh anggota berhak mengundi yang hadir dan pengerusi berkenaan akan memulakan mesyuarat yang akan diambil alih oleh pengerusi tersebut,” katanya.

Menurutnya, garis panduan juga mencadangkan supaya hari mengadakan mesyuarat pertama JMB diadakan pada hari tidak bekerja, waktu yang bersesuaian dan bertempat di kemudahan komuniti sedia ada dalam kawasan pemajuan seperti pejabat pengurusan dan dewan.

Katanya, sebarang borang proksi hendaklah dikemukakan dengan notis mesyuarat pertama JMB dengan mematuhi syarat tidak kurang dari 14 hari.

“Pemakaian proksi hanya dibenarkan untuk mewakili pembeli bersama sahaja,” katanya.

Menurut beliau, garis panduan lengkap akan dikeluarkan dalam masa tiga bulan lagi manakala jangka masa panjang satu cadangan sedang dikaji untuk menubuhkan jabatan baru khusus bagi rumah bertingkat di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Malah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan diminta mengambil inisiatif untuk membuat pindaan akta bagi melindungi hak pembeli," katanya

Rumah Kelab Lestari Perdana terbengkalai

Oleh Sarah Sulaiman

Penduduk rasa tertipu pemaju gagal siapkan kemudahan dijanjikan sejak 2004

SERI KEMBANGAN: Penduduk Lestari Perdana khususnya Desaminium Rimba dan Desaminium Flora di sini mempersoalkan kegagalan pemaju menyiapkan projek Rumah Kelab Lestari Perdana yang terbengkalai sejak 2004 tanpa sebarang notis.

Ini berikutan ketika membeli unit perumahan terbabit, mereka dijanjikan dengan pakej menarik termasuk dilengkapi pelbagai prasarana bertaraf lima bintang termasuk keahlian percuma rumah kelab berkenaan.

Lebih menyedihkan, kemudahan seperti kolam renang, padang golf, dewan sukan, pusat urut dan spa, bilik mesyuarat serta kemudahan asas lain yang dijanjikan di rumah kelab itu kini berlumut dan reput.


Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Adi, 26, mendakwa beliau sekeluarga berasa tertipu apabila promosi yang dijalankan pemaju tidak sama seperti apa yang dinikmati sekarang.

“Ketika pelancaran kondominium ini, kami sekeluarga dijanjikan dengan pelbagai kemudahan prasarana termasuk rumah kelab.

“Bagaimanapun, projek terbabit terbengkalai sejak 2004 tanpa ada usaha untuk menyiapkannya semula. Penduduk pula tidak dimaklumkan mengenai punca projek ini terbengkalai,” katanya kepada Sentral, semalam.

Seorang lagi pembeli yang enggan namanya disiarkan, berkata meskipun janji yang dibuat pemaju tidak dikotakan, sekurang-kurangnya penduduk perlu diberi penjelasan punca projek rumah kelab itu terbengkalai.

“Sayang sekali pembinaannya dihentikan kerana ia hanya membazirkan wang pembeli dan tapak pembinaan yang ditumbuhi lalang mencacatkan pemandangan kejiranan di sini,

“Keadaan ini menimbulkan tanda tanya penduduk kerana hasrat untuk beriadah bersama keluarga dengan kemudahan yang disediakan tidak dapat dilakukan dan ada yang terpaksa pergi jauh ke Putrajaya dan Shah Alam untuk beriadah,” katanya,

Sehubungan itu, beliau berharap Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dapat menyiasat masalah ini untuk kebaikan penduduk.

Bagi penduduk terawal di kediaman itu, Fazrul Othman, 31, berkata beliau kecewa apabila janji yang ditabur pemaju tidak ditunaikan sehingga sekarang.

“Saya membeli kondominium ini bagi menjadikannya sebagai rumah singgah bagi keluarga pada setiap hujung minggu memandangkan pakej yang ditawarkan seolah-olah sebuah pusat peranginan yang menarik dengan kemudahan taman rimba, tasik serta pusat riadah,

“Penduduk di kediaman ini seramai kira-kira 1,500 orang dan mereka juga mengharapkan pembangunannya diteruskan kerana ia mempunyai pelbagai kemudahan yang memberi kesenangan kepada mereka,

“Saya berharap pemaju dapat menyambung semula projek ini atau jalan terakhir menyediakan pampasan kepada pembeli yang tertipu ini sebagai ganti rugi,” katanya.

Sumber : Berita Harian Edisi Sentral bertarikh 1 Januari 2010


Pemaju lepas tangan, penduduk terabai

SERI KEMBANGAN – Penduduk yang sudah tidak tahu ke mana lagi membuat pengaduan kini terpaksa mengharungi kehidupan seharian dengan kemudahan tidak begitu sempurna walaupun dijanjikan kediaman selesa oleh pemaju ketika pembelian rumah dilakukan.


Naib Pengerusi Persatuan Penduduk Seksyen 7 Lestari Perdana, Mohd Khazimi Ismail berkata, masalah yang paling besar dan harus dihadapi penduduk setiap hari adalah masalah jalan yang berlubang dan tidak rata.

Beliau berkata, dalam mesyuarat yang didakan bersama pihak pemaju, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan agensi berkenaan, perkara itu kerap kali dibangkitkan.

Katanya, jalan utama berkenaan yang turut digunakan penduduk sekitar dibina tidak mematuhi spesifikasi, berlubang dan tidak diselenggarakan dengan baik.

“Jalan yang kebanyakannya berlubang-lubang hanya ditampal apabila aduan diajukan kepada pihak berkenaan.

“Kerosakan jalan menimbulkan masalah keselamatan kepada pengguna dan penduduk di kawasan sekitar,” katanya kepada Sinar Harian.

Khazimi berkata, selain masalah jalan yang menyebabkan kelewatan CF diberikan kepada pemilik rumah, masalah saluran tersumbat sehingga menyebabkan najis melimpah membuatkan pihaknya buntu memikirkan perkara itu.

Katanya, disebabkan saluran pembetung itu tersumbat, air najis melimpah keluar dan mengalir ke atas jalan.

“Setelah mengajukan perkara ini kepada pihak berkenaan, saya dimaklumkan bahawa peralatan di tiga loji pam telah dicuri.

“Malah saya difahamkan sekiranya pihak berkenaan tidak membaik pulih loji dengan anggaran kos sebanyak RM444,800 ia masih tidak dapat diserahkan kepada Indah Water Konsortium (IWK) untuk penyelenggaraan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata, apa yang dikesalkan pemaju memberi jawapan syarikat mereka tidak mempunyai kewangan untuk menyelesaikan kemelut itu.

“Pihak berkenaan bermain tarik tali, masalahnya apabila mereka bersikap lepas tangan, penduduk yang menanggung beban terhadap setiap permasalahan.

“Ke mana lagi kami boleh membuat pengaduan sedangkan banyak aduan sudah dibuat namun tiada maklum balas positif yang diambil kini,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) apartmen berkenaan berkata, pihaknya kini terpaksa mengambil inisiatif sendiri bagi mengelakkan air najis berkenaan melimpah semula ke rumah penduduk.

“Memang ada penduduk yang mengadu air najis melimpah masuk ke dalam tandas dan tidak turun ke saluran sepatutnya seolah-olah tersumbat.

“Selepas mengadakan pemeriksaan, memang didapati ada saluran yang tersumbat menyebabkan air najis tidak dapat disalurkan ke loji rawatan najis utama,” katanya.

Disebabkan itu, katanya, beliau terpaksa melakukan kerja-kerja mengorek bahagian tersumbat sendiri bagi mengelakkan penduduk terpaksa terus berhadapan masalah itu.

“Kita tiada pilihan lain kerana sikap tidak bertanggungjawab pemaju, masalah dihadapi terpaksa diselesaikan begini.

“Sampai bila penduduk harus menunggu sehingga pemaju bertindak sedangkan rumah berkenaan dihuni setiap hari. Dalam satu kenyataan balas daripada MPSJ, saya difahamkan pihak Majlis itu sudah mengarahkan supaya pemaju membersihkan saluran pembetung dan seterusnya membuat penyerahan kepada IWK,” katanya.

Beliau berkata, MPSJ juga berjanji untuk memantau perkara berkenaan dan jika tiada tindakan diambil pemaju, Majlis turut berjanji mengambil tindakan seterusnya.

“Namun sehingga kini saluran pembetung masih belum diserahkan kepada IWK dan masalah tersebut juga tidak diselesaikan,” katanya yang memaklumkan sumber kewangan sedia ada dalam akaun JMB memang tidak mampu memperbaiki saluran secara keseluruhannya.

Sumber : Sinar Harian 30 Disember 2009 (Versi Selangor & KL)

http://aplikasi.kpkt.gov.my/akhbar.nsf/521fb206a8dbd0a34825697400224def/e3a718cbfd7209244825769c0048986d?OpenDocument&TableRow=2.1#2..

Kemas kini aspek urus bangunan

Oleh Magendran Rajagopal

magendran@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sudah mengenal pasti kelemahan serta kekurangan Akta Bangunan dan Hartanah Bersama (Penyenggaraan dan Pengurusan) 2007, yang sedang dikemas kini bagi meningkatkan keberkesanannya.

Menterinya, Datuk Seri Kong Cho Ha, berkata pendekatan itu bertujuan memberi perlindungan lebih baik kepada hak dan kepentingan pemilik rumah pangsa, apartmen, kondominium serta rumah bandar selain kompleks beli-belah dan apartmen servis.

"Proses menambah baik akta terbabit merangkumi semua hartanah yang mempunyai hak milik strata, termasuk pembinaan atas tapak komersial.

"Kita mahu pastikan semua aspek berkaitan seperti penubuhan Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Jawatankuasa Pengurusan (MC) dan penguatkuasaan akta itu oleh Pesuruhjaya Bangunan (COB) dapat menangani segala permasalahan yang dibangkitkan pemilik selama ini.

"Ini termasuk pengwujudan garis panduan, peraturan, mengadakan program latihan untuk pemaju, syarikat pengurusan dan COB selain menyediakan khidmat nasihat kepada pemilik serta menangani aduan mereka," katanya ketika dihubungi semalam.

Antara isu yang diberi keutamaan ialah mempercepatkan pengeluaran geran hak milik strata kepada pemilik untuk membolehkan mereka menubuhkan JMB bagi menguruskan sendiri kawasan guna sama di kediaman masing-masing.

Sebelum hak milik strata dikeluarkan, sesuatu hartanah itu diuruskan oleh JMB yang dianggotai wakil pemaju dan pembeli. Selepas hak milik strata dikeluarkan, JMB digantikan dengan MC dan pemaju tidak lagi campur tangan dalam aspek pengurusan bangunan.

COB, yang dilantik kerajaan negeri, bertanggungjawab melaksanakan undang-undang berkenaan bagi menyelesaikan sebarang masalah yang mungkin berlaku dalam tempoh apabila kunci kediaman diserah kepada pembeli sehingga geran hak milik strata dikeluarkan.

Kata Kong, kementeriannya juga mahu melakukan beberapa pindaan tahun depan bagi mewujudkan garis panduan atau peraturan baru untuk memastikan pemilik hartanah lebih peka mengenai hak mereka dan mengambil tahu peranan mereka dalam pengurusan kawasan guna sama.

"Kementerian ini akan bekerjasama dengan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, yang bertanggungjawab melaksana Akta Hak Milik Strata 1985, bagi mengemas kini aspek pengurusan bangunan dan hartanah guna sama selain pengeluaran geran hak milik strata.

Sumber : Berita Harian 23 Disember 2009


'Jangan biar kami tunggu lama'

PUCHONG 5 Okt. - Persatuan Penduduk Taman Lestari Perdana di sini sudah bosan menunggu jawapan mengenai isu Sijil Layak Menduduki (CF) daripada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Pengerusinya, Mohd. Afizudin Said menjelaskan, pihaknya sudah tidak mahu mendengar lagi sebarang alasan penangguhan yang disifatkannya sebagai cara MPSJ untuk 'melepaskan' diri.

Tegasnya, isu itu disifatkan semakin serius dan penduduk di situ juga terlalu bimbang seandainya sebarang perkara buruk terjadi terhadap kediaman mereka.

"Kami difahamkan akan diberi jawapan selepas hari raya. Isu ini sudah terlalu lama tertangguh dan MPSJ sendiri perlu bertanggungjawab kepada apa yang terjadi.

"Jangan pandang ringan. Kami tinggal di kawasan MPSJ dan seharusnya mereka mengambil isu ini sebagai sesuatu yang perlu diselesaikan segera," katanya ketika ditemui pada majlis hari raya anjuran Persatuan Penduduk Taman Lestari di sini semalam.

Perumahan yang didiami kira-kira 500 keluarga itu kini berada di dalam keadaan 'tergantung tidak bertali' kerana CF masih belum diperoleh sejak tujuh tahun lalu.

Pemaju kawasan itu adalah Darar Ehsan Sdn. Bhd. dan tanah adalah kepunyaan SAP Holding Berhad, anak syarikat kerajaan negeri Selangor.

Pada tahun 2002, penduduk menandatangani perjanjian jual beli rumah tersebut.

Kata Afizudin lagi, masalah itu sudah dibangkitkan sejak 2002 lagi namun alasan tunggakan bayaran wang deposit oleh Darar Ehsan kepada MPSJ lebih dari RM500,000 bukan masalah kepada mereka.

"Mereka seharusnya menyelesaikan isu ini sejak dahulu lagi. Ini tidak, kini kami terpaksa menanggung risiko jika ada perkara buruk terjadi di sini.

"Cepatkan permohonan kami. Kami juga tidak teragak-agak untuk membangkitkan isu ini kepada pihak ketiga dan jangan biar kami menunggu lama," ujarnya

Sumber : Utusan Malaysia edisi Kota bertarikh 6 Oktober 2009

Keratan Akhbar Sinar Harian 22 Jun 2009

Penduduk kurang faham fungsi JMB

AMPANG - Penubuhan Badan Pengurusan Bersama (JMB) bukanlah satu penyelesaian dalam mana-mana kawasan kediaman seandainya tiada pemahaman yang jelas daripada penghuni mahupun pihak pengurusan berkait dengan JMB.

Pengarah Operasi, Focus Facilities Management Sdn Bhd, Ablah Othman berkata, pelbagai cabaran dan masalah yang perlu dihadapi dalam menguruskan dan menyelenggara harta bersama seperti di flat, pangsapuri dan kondominium.

Menurutnya, perkara yang kerap dihadapi mana-mana pengurusan adalah keengganan penghuni membayar yuran penyelenggaraan sebagai contoh, pemilik yang tidak tinggal di perumahan tersebut tetapi menyewakan kepada orang lain.

“Kebiasaannya penyewa ini kurang rasa tanggungjawab untuk membayar yuran penyelenggaraan sehingga sukar untuk membuat kutipan sepenuhnya.

“Begitu juga bilangan unit rumah yang sedikit akan menyebabkan dana tidak setara dengan jumlah perbelanjaan pengurusan bangunan terutama perumahan kos rendah yang mempunyai lif.

“Malah ada juga pemilik yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberi oleh pemaju menyebabkan mereka enggan membayar yuran penyelenggaraan walaupun yuran perkhidmatan yang rendah,” kata Ablah.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cabaran yang dihadapi JMB semasa Seminar Perbadanan Pengurusan terhadap Peranan dan Tanggungjawab JMB dan Legasi Hakmilik Strata anjuran Focus Facilities Management Sdn Bhd di Hotel De Palma Ampang.

Ablah berkata, masalah dalaman JMB juga antara beberapa masalah dan cabaran yang sering timbul apabila mereka yang berada dalam pengurusan ini tidak memahami peranan JMB dengan jelas.

Sebagai contoh “Masalah seperti rumah lelong, struktur kediaman yang tidak memuaskan, masalah cukai tanah dan masalah meter air pukal kebiasaannya ditanggung menggunakan dana yuran perkhidmatan adalah antara lain yang sering menghantui JMB,” katanya.

Menurutnya, kesemua masalah ini hanya dapat diatasi sekiranya Akta 318 Akta Hakmilik Strata perkara 41A Caruman dapat dikuatkuasakan oleh pihak berwajib. Jika ini dapat dilaksanakan, maka banyak perkara dapat diatasi dan seterusnya menjaga kebajikan dan keselesaan perumahan bertingkat.

Sebelum itu, Seminar Perbadanan Pengurusan telah dirasmikan Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Negeri Selangor, Iskandar Abd Samad.

Sinar Harian 31 Ogos 2009


Sumber:- http://lestariperdana.webs.com/laporanakhbar.htm

No comments: