Assalamualaikum Warahmatullah & Salam Sejahtera
Pada  8hb Disember 2007, satu Majlis Pelancaran Kad Denggi Untuk Klinik  Swasta Peringkat Negeri Selangor telah diadakan di Auditorium Hospital  Serdang yang dirasmikan oleh Y.B Dato' Dr Lim Thuang Seng, Exco  Pelancongan, Kesihatan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Selangor.
Saya  telah mewakili Dr. Mohd Idzham dari Klinik Idzham untuk menghadiri  majlis pelancaran tersebut. Majlis tersebut dianjurkan untuk memberi  lebih kefahaman tentang peranan klinik swasta yang merupakan peringkat  primer yang dikunjungi pesakit yang menghidapi denggi.
Statistik TerbaruNegeri  Selangor merupakan negeri yang mempunyai kejadian denggi TERTINGGI di  Malaysia. Sebanyak 14,814 kes denggi telah dilaporkan pada 1 Januari  2007 sehingga 1 Disember 2007 (48 minggu) berbanding sebanyak 12,284 kes  sepanjang tahun 2006 dan 11,965 kes sepanjang tahun 2005. Ini adalah  peningkatan 32% daripada tahun 2006.
Mengikut perangkaan  statistik selama 10-18 tahun yang lepas, kadar insiden denggi di Negeri  Selangor ialah sebanyak 100 kes setiap 100,000 populasi . Selepas tahun  2005 kadar ini telah meningkat kepada 300 kes setiap 100,000 populasi.  Ini adalah peningkatan 3 kali ganda! Sebanyak 33 kematian telah  dicatatkan pada tahun ini.
Wabak denggi atau "outbreak" di  Malaysia (jika saya tidak silap) bermaksud apa sahaja kejadian denggi  melebihi daripada ?dua kes dalam selang masa 7 hari. Mengikut statistik,  Seksyen u19, Kampung Baru Sungai Buloh (KBSB) di bawah Majlis Bandaran  Shah Alam (MBSA) mencatat 192 kes dan telah diisytiharkan wabak selama  365 hari dalam masa setahun! Bermakna KBSB mengalami wabak sepanjang  tahun....
Jika wabak Denggi dijadikan ukuran - MBSA juga patut menerima "Anugerah Penyapu" daripada MB Selangor....
Kenapa Kes Denggi Banyak Di Selangor?Denggi  merupakan penyakit virus bawaan vektor (pembawa) dan dikenali sebagai  penyakit urban (bandar). Pembangunan yang pesat menjadikan virus ini  susah hendak dikawal kerana di kawasan bangunan tidak siap menjadi  tempat utama tempat pembiakan nyamuk. Ini dibuktikan dengan statistik.  Melalui bilangan premis tapak binaan yang disiasat di Selangor, 57%  didapati positif untuk indeks aedes. Sedangkan kawasan perumahan cuma  menyumbang 1.3% kes positif.
Selangor juga mempunyai populasi  tertinggi di Malaysia iaitu hampir 5 juta orang. Ini ialah 26% daripada  total populasi Malaysia. Jadi tidak hairanlah Selangor mengepalai kes  denggi dengan 32.5% daripada keseluruhan kes denggi iaitu 14,814  daripada 45,557 kes.
Pekerja warga asing yang banyak tertumpu di  Selangor yang kebanyakannya tiada penempatan yang tetap dan berpindah  randah mengikut pembangunan projek juga menyulitkan kawalan denggi  secara optimum. Kebanyakan warga asing tinggal di struktur penempatan  yang bersepah, tidak bersih dan kurang kemudahan kesihatan juga  menyumbang kepada kes peningkatan denggi.
Apa itu Denggi?Denggi ialah sejenis virus dari jenis Arbovirus di dalam genus Flavivirus. 

Ia adalah penyakit bawaan nyamuk jenis aedes. 2 jenis aedes yang popular di Malaysia ialah Aedes aegypti dan Aedes albopictus.
Nyamuk  aedes boleh dikenali dengan belang-belang hitam putih pada badan dan  kaki dan menyerang pada waktu subuh dan lewat petang. Nyamuk betina  menghisap darah untuk proses bertelur.
Nyamuk aedes secara sendirinya TIDAK boleh menyebabkan denggi.  Denggi tersebar apabila nyamuk aedes menghisap darah pesakit denggi dan  mengalihkan virus denggi tersebut kepada mangsa-mangsa yang lain.  Pesakit yang digigit nyamuk aedes tersebut pula akan menjadi sakit  selepas 7-10 hari. Kemudian proses ini akan tersebar melalui nyamuk  aedes kepada pesakit yang lain.
Tanda-tanda dan Diagnosis Penyakit DenggiAntara tanda-tanda penyakit denggi ialah :-
- Demam yang tinggi - tidak kurang walaupun memakan paracetamol (panadol) selama 5-7 hari
- Sakit-sakit badan dan tulang (seperti patah tulang sakitnya)
- Sakit pada sendi
- Sakit belakang mata
- Kepenatan dan lemah badan
- Hilang selera makan
- Muka menjadi merah
 Keluar ruam-ruam merah halus seluruh badan Keluar ruam-ruam merah halus seluruh badan
- Sakit perut (kerana salur darah perut mengecut)
- Muntah-muntah
- Cirit Birit
- Tangan dan hujung kaki terasa sejuk (tanda salur darah tangan dan kaki mengecut)
- Lebam secara tiba-tiba atau dengan sedikit hentakan (tanda pendarahan bawah kulit)
- Gusi berdarah 
- Pendarahan lain
 
- Pengsan selepas demam tinggi
- Sawan selepas demam tinggi 
- Sesak Nafas (tanda air di dalam paru-paru)
- Kencing berkurang (tanda salur darah di buah pinggang mengecut)
***  Pengecutan salur darah di sekitar badan untuk mengalirkan darah ke  tempat penting seperti di otak dan jantung menandakan denggi semakin  serius dan mungkin boleh mengalami Dengue Shock Syndrome ***
Pemeriksaan Darah :- 
- Positif untuk Hess Test (50-60%% sensitif)
- Hematocrit > 40% (pemeriksaan kepekatan darah)
- Kiraan sel darah (Full Blood Count) - Platelet turun di bawah 100,000
- Sel darah putih turun di bawah 6,000 (leukopenia)
- Kiraan darah Neutrofil turun di bawah 4,000.
- Enzim AST meningkat di dalam hati
- Ig M meningkat selepas 6-7 hari
- Viral isolation dan PCR (dapat mengesan sejak awal tapi tidak kos efektif)
Kemasukan ke Hospital
Beberapa  tahun yang lalu, kriteria seperti platelet di bawah paras 100,000 (di  GHKL) atau 80,000 (di Hospital Selayang) diguna pakai untuk kemasukan ke  wad. Namun begitu, ia tidak menjadi satu kriteria lagi sekarang.
Pesakit  harus dinilai secara individu mengikut simptom masing-masing. Seseorang  yang mempunyai platelet 70,000 adakalanya lebih sihat daripada mereka  yang mempunyai platelet 100,000. Penilaian adalah bergantung kepada  doktor yang bertugas di Jabatan Kecemasan di Hospital yang merawat. 
Saya  pernah merujuk satu kes Warga Indonesia ke UMMC yang menghidap demam  panas selama 5 hari, lemah badan dan mempunyai ruam. Ujian darah  menunjukkan platelet 49,000. Setelah dirujuk ke UMMC, dia disuruh pulang  dan datang untuk mengambil darah pada keesokan harinya. 
Kes yang  akan dimasukkan ke wad hospital kerajaan ialah, tanda-tanda pesakit  menghadapi demam denggi berdarah seperti pendarahan, perubahan status  mental spt meracau, sesak nafas, sakit perut yang teruk dan tidak boleh  minum dan makan kerana muntah berlarutan. (Jangan ingat kalau pesakit  meracau - dalam kepala kita - dia disampuk hantu. Pesakit boleh maut  tuan-puan!) Ataupun disyaki mengalami Dengue shock Syndrome iaitu hujung  tangan dan kaki menjadi sejuk, tekanan darah rendah, kurang kencing dan  sakit perut yang teruk. 
Kita perlu faham oleh kerana sumber yang  terhad di hospital kerajaan, katil yang tidak mencukupi dan pekerja  kesihatan yang secara relatifnya kurang, maka kriteria untuk kemasukan  ke hospital kerajaan menjadi lebih ketat. Untuk yang berkemampuan, anda  boleh memilih untuk memasuki Hospital swasta. Anda akan diwadkan  walaupun platelet anda 120,000 dan anda berasa sihat (poket pun kena  sihat juga!).
Menyekat Wabak Denggi
Menyekat  merebaknya penyakit denggi sedari awal adalah sangat-sangat perlu. Ini  adalah kerana sekiranya ada pesakit yang dimasukkan ke dalam hospital  kerana denggi, tindakan penguatkuasa untuk melaksanakan "fogging" atau  "menyembur asap ubat" ke kawasan yang terlibat hanya akan dilakukan 10  hari daripada tarikh pesakit mula dijangkiti. Ini adalah kerana  notifikasi ke pejabat kesihatan hanya dilakukan selepas pesakit di  diagnosis di hospital. Adakalanya pesakit lambat ke hospital kerana  masalah-masalah domestik menjadikan proses "fogging" lebih lambat. 
Peranan  klinik swasta untuk menyekat wabak denggi daripada merebak adalah  penting kerana merekalah doktor pertama yang merawat. Adalah penting  doktor merujuk pesakit ke hospital dengan awal dan menasihatkan pesakit  untuk mengambil langkah berjaga-jaga. 
- Pesakit dinasihatkan  untuk menjalani pemeriksaan darah sekiranya demam makin tinggi dan  keadaan semakin teruk. Rujukan awal adalah perlu. 
- Keluarga pesakit harus memastikan tempat pembiakan nyamuk dibersihkan
- Sesiapa  yang mengetahui bahawa ada jiran mereka yang menghidap penyakit denggi  harus berhati-hati, membersihkan kawasan sekeliling dan tidur  menggunakan kelambu
- Pesakit denggi tidak boleh keluar waktu  lewat pentang dan subuh untuk mengelakkan digigit nyamuk. Jika boleh  rehat di rumah sahaja. 
- Pesakit denggi harus memakai pakaian  yang tertutup bagi mengelak gigitan nyamuk. Denggi hanya boleh merebak  sekiranya nyamuk menggigit anda. Wabak denggi akan berhenti sekiranya  nyamuk tidak dapat menggigit mana-mana mangsa selama 7 hari. 
 Sekiranya  nyamuk masih ada, sementara menunggu fogging, gunakan ubat nyamuk  semburan, untuk menyembur seluruh rumah. Gunakan ubat nyamuk di waktu  malam. Sekiranya  nyamuk masih ada, sementara menunggu fogging, gunakan ubat nyamuk  semburan, untuk menyembur seluruh rumah. Gunakan ubat nyamuk di waktu  malam.
- Sekiranya proses fogging dilakukan, tolonglah.... jangan  tutup pintu rumah sebab takut lantai atau dinding berminyak dek ubat  tu... ada juga orang berfikiran begini... Nyawa lebih bernilai daripada  segala barang berharga di rumah tersebut.
- Nasihatkan teman rapat  atau jiran untuk melaksanakan perkara-perkara di atas sekiranya  terdapat sesiapa yang disyaki menghidap denggi.