Tuesday, August 25, 2009

Kerajaan Negeri Lancar Program Anugerah Komuniti Terbaik Pemajuan Berstrata Negeri Selangor

Kerajaan Negeri Lancar Program Anugerah Komuniti Terbaik Pemajuan Berstrata Negeri Selangor

Bagi membentuk jaringan komuniti yang sejahtera dan harmoni di negeri ini, kerajaan negeri hari ini melancarkan Anugerah Komuniti Terbaik Pemajuan Strata Negeri Selangor 2009.

Program anjuran Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dikalangan penduduk perumahan strata di Selangor agar mengekalkan persekitaran perumahan yang cantik dan bersih.

Majlis pelancaran program telah disempurnakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid, di Ruang Legar Bangunan SUK, Shah Alam, petang tadi.

Turut hadir, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Negeri Selangor, Iskandar Abdul Samad dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ramli Mahmud.

Berucap pada majlis itu, Khalid yakin program ini sangat bertepatan pada masa ini berikutan peningkatan peratusan bilangan masyarakat pemajuan berstrata di negeri ini yang dilaporkan semakin tinggi.

“Saya yakin program ini sangat relevan dan diperlukan sebagai usaha mengiktiraf sumbangan masyarakat pemajuan strata bagi membentuk komuniti yang sejahtera dan harmoni di Selangor.Usaha seumpama ini secara tidak langsung memberi impak terhadap pengukuhan teras perpaduan rakyat Selangor”,katanya.

Tambahnya berdasarkan rekod Unit Pesuruh Jaya Bangunan bagi semua pihak berkuasa tempatan,sehingga kini terdapat 3,809 kawasan pemajuan strata melibatkan 689,775 petak di seluruh Selangor.

Katanya, kerajaan negeri juga turut menjangka berlaku penambahan jumlah kawasan pemajuan strata dinegeri ini.

“Jangkaan ini berdasarkan andaian iaitu pada tahun 2008 sahaja, sejumlah 12,330 petak kos rendah dan sederhana rendah diluluskan bagi sembilan kawasan Pihak Berkuasa Tempatan negeri Selangor”,katanya.

Dalam majlis yang sama, Khalid turut melancarkan kempen ‘Pangsapuri Kita Bersih, Ceria dan Harmoni’.

Menurut Abdul Khalid, kempen ini mengambarkan aspirasi kerajaan negeri agar semua bentuk perumahan bertingkat di negeri Selangor berada pada tahap yang standing dengan kualiti kediaman bertingkat di Singapura atau di negara maju lain.

Dalam perkembangan sama kerajaan negeri mengalu-alukan penyertaan dari semua Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) untuk menyertai Anugerah Komuniti Terbaik Pemajuan Berstrata 2009.

Anugerah yang terbahagi kepada tiga kategori iaitu pangsapuri kos rendah, pangsapuri kos sederhana rendah dan pangsapuri tinggi menawarkan hadiah kelengkapan pejabat bernilai RM10, 000.

Bagi yang berminat, borang penyertaan hendaklah di hantar ke Unit Pesuruhjaya Bangunan(COB) Pihak Berkuasa Tempatan sebelum atau selewat-lewatnya pada 30 Oktober2009.

Sumber dari:

http://tvselangor.com/v4/news-section?t=910

No comments:

Post a Comment