Monday, December 13, 2010

50,000 bakal kunjungi I-City sempena sambutan Ambang Tahun Baru

SHAH ALAM, 12 Dis - Dianggarkan seramai 50,000 hadir ke I-City, Seksyen 7, pada 31 Disember, sempena sambutan Ambang Tahun Baru yang akan datang.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu, program yang bakal diadakan melibatkan penyertaan banyak pihak, antaranya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pelajar sekolah.

Kerajaan negeri menerusi 12 PBT negeri Selangor akan membuka kaunter khas, bagi menjawab segala pertanyaan, kemusykilan, serta memberi khidmat nasihat kepada orang ramai.

“Program ini secara tidak langsung bakal menjadi platform kerajaan negeri dan rakyat bagi mengeratkan lagi silaturrahim antara kerajaan negeri, PBT serta rakyat Selangor.

“Program ini juga akan memberi maklumat kepada rakyat mengenai pelbagai pembaharuan dan penambahbaikan di PBT berbanding pentadbiran lepas, terutamanya dalam bidang perkhidmatan, pengurusan kewangan dan sebagainya,” katanya dalam satu sidang media.

Ronnie berkata, ia sekali gus dapat memberi peluang kepada oraang ramai, khususnya warga Selangor untuk membuat sebarang aduan, saranan dan juga idea bagi meningkatkan lagi perkhidmatan dan produktif PBT.

Menurut beliau lagi, sambutan Ambang Tahun Baru 2011 juga akan bermula pada 29 Disember, iaitu perasmian Snow Walk dan ia akan dibuka kepada orang ramai serta pameran yang dilaksanakan oleh 12 PBT.

“Pada 30 Disember, seminar akan diadakan melibatkan seramai 288 peserta, iaitu pembantu ahli majlis dan pembantu khas PBT serta sesi dialog antara kerajaan negeri bersama pelabur-pelabur asing dan tempatan.

“Pada malam 31 Disember pula, pertunjukan bunga api akan diadakan dan persembahan kebudayaan daripada pelbagai kaum melibatkan pelajar sekolah serta artis terkenal,” katanya.

Kerajaan negeri berhasrat merialisaikan I-City untuk menjadi hub komersil, hub kewangan dan banyak lagi hotel akan didirikan, sekali gus akan memberi kesan yang baik kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).


Sumber artikel: http://www.selangorkini.com.my/my/berita/22967


No comments:

Post a Comment