Sunday, September 18, 2011

Hari Malaysia dan Hari kemerdekaan disambut gemilang

Hari Malaysia dan Hari kemerdekaan disambut gemilang

16/09/2011 12:30pm


KUALA LUMPUR 16 Sept – Buat julung kalinya, sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia disambut serentak hari ini dan diraikan dengan penuh gilang-gemilang dan warna-warni di Dataran Merdeka sebagai lokasi utamanya.

Bertemakan ”1Malaysia: Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera”, sambutan Hari Kemerdekaan ke-54 dan Hari Malaysia ke-48 pada tahun ini didominasi golongan belia yang merupakan peserta terbesar yang mengambil bahagian dalam persembahan kemerdekaan yang merangkumi empat segmen.

Kira-kira 10,000 peserta daripada pelbagai peringkat iaitu pelajar sekolah, guru, polis, tentera, kakitangan kerajaan dan swasta yang mengambil bahagian dalam acara sambutan itu mula berkumpul seawal 5 pagi.
Acara sambutan dalam keadaan cuaca cerah bermula sebaik sahaja keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah pada 8 pagi.

Kira-kira 15 minit sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama isteri, Puan Sri Norainee Abd Rahman tiba di perkarangan Dataran Merdeka.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni; Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng dan isteri, Toh Puan Norkiah Abdullah, selain menteri-menteri Kabinet.

Ketibaan tetamu kehormat disambut dengan lambaian dan sorakan ratusan ribu penonton yang berbaris di sepanjang jalan, bermula dari Jalan Raja hingga persimpangan Jalan Sultan Ismail. – Bernama

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0916&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_04.htm

No comments:

Post a Comment