Tuesday, December 20, 2011

INDAH WATER KONSORTIUM (IWK) : SISTEM PEMBETUNGAN DAN TANGGUNGJAWAB PENGGUNA

SISTEM PEMBETUNGAN DAN TANGGUNGJAWAB PENGGUNA


Written by Foon Weng Lian   
Tuesday, 15 November 2011 04:05
 
Masih ramai rakyat Malaysia yang tidak memahami sepenuhnya jenis sistem pembetungan yang terdapat di negara ini.

Mereka beranggapan bahawa jika mereka berjaya mengepam bahan buangan mereka melalui tandas, maka mereka percaya ada pihak yang akan menguruskan segalanya.

Anggapan seperti ini menyebabkan ramai yang belum dapat menghayati kepentingan perkhidmatan pembetungan memandangkan ia tidak memberi apa-apa kesan secara terus kepada mereka.

Kefahaman terhadap sistem pembetungan yang terdapat di Malaysia akan membantu masyarakat menilai tentang perkhidmatan pembetungan  dan memahami peranan masing-masing ke arah meningkatkan mutu perkhidmatan yang diinginkan.

Sistem Bersambung dan Tangki Septik
Terdapat dua jenis sistem pembetungan di Malaysia, iaitu sistem bersambung dan tangki septik. Sistem bersambung adalah satu sistem yang rangkaian paip pembetungan akan membawa kumbahan dari premis ke suatu loji rawatan kumbahan yang terletak di luar kawasan premis. Manakala sistem tangki septik pula tidak melibatkan rangkaian paip di luar kawasan premis kerana rawatan dilakukan di kawasan premis.

Sistem tangki septik telah wujud sejak zaman penjajahan British lagi. Sistem rawatan kumbahan oleh tangki septik tidak menyeluruh dan tidak berupaya untuk mematuhi piawaian yang telah ditentukan. Penggunaan sistem jenis bersambung adalah lebih efisien dan sesuai untuk merawat kumbahan dalam kuantiti yang lebih banyak dan boleh dirancang bagi menerima kumbahan dari kawasan-kawasan berhampiran.

Pengesahan Jenis Sistem
Bagi memudahkan pengguna mengenal pasti jenis sistem pembetungan yang sedang dinikmati di premis masing-masing, maka perlu bagi penghuni premis untuk mengetahui sistem pembetungan yang digunakan di premis mereka. Oleh itu, cara yang paling mudah adalah dengan meneliti penutup lurang yang terdapat di luar premis. Sekiranya terdapat konfigurasi penutup lurang yang selari dan melebihi 1 buah penutup (2 atau 3 buah), maka premis berkenaan mempunyai sistem tangki septik.

Kebanyakan sistem jenis bersambung tidak mempunyai penutup lurang yang berdekatan di antara satu dengan yang lain.

Tanggungjawab Penyelenggaraan
Semua sistem bersambung yang telah diserahkan kepada Indah Water Konsortium (IWK) perlu diselenggara dengan baik supaya sistem pembetungan dapat berfungsi dengan berkesan. Bagi kawasan yang belum diambil alih oleh IWK, maka Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan masih bertanggungjawab terhadap semua sistem pembetungan bersambung.

Pada masa yang sama, terdapat juga sistem bersambung yang dimiliki oleh pihak tertentu secara persendirian, contohnya hotel, institusi pengajian dan perubatan.

Oleh itu, pemilik sistem bersambung persendirian  perlu mempunyai lesen kelas dari SPAN serta mempunyai permit khas bagi tujuan menyelenggara sistem tersebut.

Tanggungjawab Pemilik, Perbadanan Pengurusan dan Penghuni

Di bawah Seksyen 3, Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, pemilik, penghuni atau perbadanan pengurusan mana-mana premis yang bersambung ke tangki septik perlu :
  1. Mengenyahenap cemar tangki septik dalam premis sekurang-kurangnya 1 kali setiap 36 bulan. Disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000.
  2. Memberi akses kepada tangki septik untuk dinyahenap cemar oleh IWK / Majaari ataupun kontraktor mengenyahenap cemar yang berdaftar dengan SPAN.
  3. Menyimpan salinan perakuan penyiapan perkhidmatan penyahenap cemar.
  4. Enapcemar perlu dilupuskan di tempat yang telah diluluskan oleh JAS / SPAN.
  5. Tidak boleh melepaskan, melupuskan dan meletakkan sisa bukan domestik ke dalam tangki septik. Disabit kesalahan boleh didenda RM100,000 atau dipenjara tidak lebih daripada 1 tahun.
Bayaran Perkhidmatan Mengenyahenap cemar
Tuan punya premis boleh berunding dengan pemegang permit / kontraktor yang berdaftar dengan SPAN untuk jumlah serta cara bayaran yang dikenakan. Walau bagaimanapun, sekiranya tuan punya premis memerlukan perkhidmatan IWK, maka bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM300 bagi setiap meter padu.

Bayaran yang lebih tinggi yang dikenakan oleh IWK  berbanding dengan kontraktor lain adalah disebabkan IWK tidak boleh menolak mana-mana permintaan perkhidmatan nyahenap cemar yang dibuat oleh tuan punya premis.

Bahaya Kelimpahan Kumbahan atau Efluen
Sehingga kini, lebih kurang 10% daripada 1.3 juta tangki septik yang telah  dinyahenapkan di seluruh negara. Keadaan ini menyebabkan efluen yang dikeluarkan tidak dapat mencapai tahap yang dikehendaki.

Ia merupakan punca pencemaran alam sekitar yang ketara bagi sesuatu kawasan perumahan. Selain itu, risiko kesihatan umum juga timbul memandangkan tanpa rawatan kumbahan yang sempurna, efluen yang mengandungi bakteria boleh merebak dengan cepat.

Oleh sebab itu, nyahenap cemar mesti dilaksanakan dengan kadar yang segera sekiranya premis tersebut tidak pernah dinyahenap cemar tangki ataupun lebih daripada 3 tahun tidak dilakukan nyahenap cemar demi kesejahteraan hidup pengguna premis dan masyarakat setempat.

Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia

LAKSANAKAN TANGGUNGJAWAB APABILA MEMBELI PANGSAPURI

LAKSANAKAN TANGGUNGJAWAB APABILA MEMBELI PANGSAPURI


Written by Matheevani Marathandan   
Tuesday, 05 April 2011 12:20 
 
Pangsapuri merupakan suatu unit rumah yang lebih murah dan mampu dimiliki berbanding rumah teres dan yang bertanah. Namun sebagai seorang pengguna yang bijak dan pembeli rumah, anda perlu berfikir dan sedia untuk mengambil beberapa risiko serta komitmen sepanjang hayat.

Kebanyakan pembeli rumah tidak bersedia mengambil tanggungjawab sebagai pembeli rumah. Umpamanya sebagai pembeli rumah pangsapuri, setiap orang mempunyai tanggungjawab untuk membayar yuran penyelengaraan.

Tetapi ramai mempersoalkan tanggungjawab dan tidak mahu membayar dengan pelbagai sebab.  Namun sikap ini akan mengundang kesan buruk kepada mereka kelak.

Masalah-masalah yang bakal wujud adalah seperti kerosakan lift tidak dibaiki, kawasan persekitaran yang tidak dibersihkan, bangunan tidak dapat dicat, paip umum yang bocor tidak dapat dibaiki, masalah pemotongan air dan elektrik kepada semua orang yang mendiami blok berkenaan.

Adakah anda ingin hidup dalam keadaan kesusahan seperti ini sekiranya anda tidak membayar yuran penyelenggaraan. Anda juga tidak akan terlepas kerana anda boleh didakwa di mahkamah.  Sudah tentu ini akan memberi kesan yang tidak diingini  Pengguna yang bijak akan membuat pilihan dan keputusan bijak serta laksanakan tanggungjawab mereka. Oleh itu laksanakan tanggungjawab anda sebagai pemilik atau jangan mengambil risiko dengan membeli rumah pangsapuri.

Namun sekiranya badan pengurusan pula tidak menjalankan tanggungjawabnya, maka adukan kepada Pesuruhjaya Bangunan, Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan untuk tindakan.

Matheevani Marathandan
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)

SUMBER : http://www.konsumerkini.net.my/v1/index.php/berita-terkini/perumahan/620-laksanakan-tanggungjawab-apabila-membeli-pangsapuri

Saturday, December 10, 2011

Hari Keputeraan D.Y.M.M Sultan Selangor (11hb Disember 2011)

Kami sekalian merafak sembah serta menjunjung kasih dengan ucapan tahniah di atas keputeraan D.Y.M.M Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj . Sultan dan Yang Di Pertuan Negeri Selangor serta segala jajahan takluknya ....




DULI YANG MAHA MULIA SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH ALHAJ
IBNI ALMARHUM SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH ALHAJ
D.K.,D.M.N.,D.K.(Terengganu).,D.K.(Kelantan).,D.K.(Perak).,
D.K.(Perlis)., D.K.(Negeri Sembilan)., D.K.(Kedah).,S.P.M.S.,S.S.I.S.,S.P.M.J.

Sultan dan Yang Dipertuan Negeri Selangor Darul Ehsan
Serta Segala Daerah Takluknya


--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------- 



Adalah dimaklumkan bahawa Pihak Pengurusan JMB "PK SEK: 7 COMMITTEE" akan ditutup pada 12hb Disember 2011 (Isnin) sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor dan Pejabat Pihak Pengurusan akan dibuka semula pada 13hb Disember 2011 (Selasa) seperti biasa.
Untuk sebarang masalah teknikal di waktu cuti anda boleh menghubungi:- 

HOTLINE ‘ON CALL’ : 012-9796536
(Maintenance ‘On Call’)

Di kesempatan ini, kami Pihak Pengurusan JMB”PK SEK:7 COMMITTEE” dengan ikhlasnya mengucapkan Selamat Bercuti kepada semua penduduk. 

DAULAT TUANKU… DAULAT TUANKU… DAULAT TUANKU….

Thursday, December 8, 2011

Surau ditenggelami air akibat banjir kilat (kejadian kali ke 4)

Surau ditenggelami air akibat banjir kilat (kejadian kali ke 4) 









Sekali lagi Pusat Komersil Sek. 7 dilanda musibah hujan lebat & banjir pada hari ini iaitu 8 Disember 2011 waktu pukul 1:05pm, menyebabkan sebuah surau yang diberi nama As Siddiq hampir ditenggelami air.

Syukur kerana pihak AJK Surau telah mengambil langkah awal dengan membina benteng disetiap pintu surau agar tidak dimasuki air.Ini adalah kejadian kali ke 4 surau ini mengalami kejadian banjir.

(untuk mengetahui kejadian banjir di Pusat Komersil sila klik di sini)

Kawasan sekitar hadapan Pasaraya Giant turut mengalami musibah yang sama.