KENYATAAN MEDIA
SIARAN SEGERA
25 MAC 2014
STATUS TERKINI PELAN CATUAN BEKALAN AIR PERINGKAT PERTAMA DAN KETIGA DI NEGERI SELANGOR, KUALA LUMPUR DAN PUTRAJAYA
Kuala Lumpur – Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) ingin memaklumkan status terkini perlaksanaan Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Pertama dan Ketiga di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang masing-masing mula dilaksanakan pada 27 Februari 2014 dan 10 Mac 2014 yang masih diteruskan sehingga kini.
Untuk makluman, Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Pertama dilaksanakan ekoran penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi disebabkan pencemaran ammonia di dalam Sungai Langat melibatkan beberapa kawasan di Wilayah Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.
SYABAS telah dimaklumkan oleh syarikat operator loji iaitu Puncak Niaga (M) Sdn Bhd bahawa LRA Cheras Batu 11 yang telah mula beroperasi sejak 17 Mac 2014 lalu telah berhenti beroperasi semenjak jam 2.00 petang hari ini (25 Mac 2014). Ini berlaku berikutan kandungan ammonia di LRA Cheras Batu 11 telah meningkat semula sejak semalam disebabkan kekurangan hujan sejak empat (4) hari yang lepas. Bacaan paras ammonia sehingga jam 2.00 petang (25 Mac 2014) adalah pada tahap 4.20 part per million (ppm) iaitu melebihi paras kandungan yang dibenarkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Manakala, LRA Bukit Tampoi pula pada masa ini (2.00 petang, 25 Mac 2014) masih lagi beroperasi seperti biasa disebabkan paras ammonia masih di tahap yang dibenarkan. Keadaan yang berlaku ini juga sedang dipantau rapi oleh pihak operator loji berkenaan. Justeru, para pengguna di Wilayah Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang yang memperolehi bekalan air menerusi LRA tersebut akan menghadapi catuan bekalan air seperti yang dijadualkan di dalam Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Pertama.
Berhubung ini, seperti yang telah dijadualkan, pada hari ini (25 Mac 2014) kawasan yang diletakkan di bawah ZON 2 mendapat bekalan air dan ZON 1 sedang dicatu.
Oleh sebab itu, para pengguna perlu menyimpan bekalan air yang secukupnya untuk kegunaan utama bagi tempoh ketiadaan air selama dua hari. SYABAS juga akan terus membuat pemantauan berterusan di kawasan-kawasan catuan ini bagi memastikan para penduduk mendapat bekalan air seperti yang telah dijadualkan.
Sementara itu, Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Ketiga akan terus dilaksanakan. Ini melibatkan beberapa kawasan di Wilayah Gombak, Petaling, Kuala Lumpur, Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Klang/Shah Alam pula berlaku ekoran kekurangan bekalan air terawat disebabkan pengurangan pelepasan air mentah dari Empangan Sungai Selangor sebanyak 500 JLH dan Empangan Klang Gates (30 JLH) seperti yang diputuskan oleh Kerajaan Negeri Selangor.
SYABAS ingin memaklumkan bahawa terdapat beberapa kawasan catuan bekalan air yang diletakkan d dalam ZON 2 di Wilayah Gombak dan Klang/Shah Alam lewat mendapat bekalan air seperti yang dijadualkan sejak semalam. Ini berikutan loji rawatan air yang membekalkan air ke semua kawasan ini dari Sungai Selangor telah mengurangkan pengeluaran air terawat daripada kadar pengeluaran biasa pada 24 Mac 2014 berbanding kadar pengeluaran semasa catuan. Walau bagaimanapun, pemantauan berterusan SYABAS di semua kawasan gangguan ini menunjukkan bekalan air di semua kawasan tersebut telah mula mendapat bekalan air seperti biasa sejak jam 10.00 malam tadi (24 Mac 2013) dan dijangka pulih sepenuhnya pada petang 25 Mac 2014. Antara kawasan yang masih tidak mendapat bekalan air adalah:
Wilayah Gombak
Wilayah Klang/Shah Alam
- Bukit Indah
- Taman Sri Rasa
- Taman Sri Bayu
- Taman Zooview
- Seksyen 1 dan 2
- Kampung Tasik Permai
- Sri Gombak
- Kepong Baru
- Seksyen 27
- Seksyen 28
- Seksyen 33
Untuk makluman, catuan bekalan air kesemua kawasan yang terlibat di Peringkat 1 dan 3 akan terus dilakukan mengikut jadual berdasarkan pelan catuan sebelum ini dan para pengguna diharapkan agar memandang serius berhubung perkembangan terkini situasi bekalan air yang berlaku di Negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Fenomena cuaca panas dan ketiadaan hujan sejak beberapa hari lalu meyebabkan tiada aliran air tambahan di Sungai Selangor dan oleh sebab itu kedua-dua pelan catuan bekalan air ini masih lagi diteruskan sehingga 31 Mac 2014 atau dilanjutkan. Walau bagaimanapun, pihak SYABAS masih menunggu keputusan lanjutan catuan air daripada pihak Kerajaan Negeri Selangor.
Justeru, pihak SYABAS terus berharap agar para pengguna sentiasa memberikan kerjasama penuh untuk mengurangkan penggunaan air dan terus berjimat cermat bagi membolehkan bekalan air sediada dapat bertahan lebih lama. Para pengguna terus diingatkan agar tidak melakukan perkara yang terlarang dan tidak bertanggungjawab seperti melakukan kerosakan terhadap fasiliti dan infrustuktur bekalan air yang diuruskan oleh SYABAS termasuklah pada jajaran-jajaran paip kerana perbuatan ini boleh mendatangkan kesan buruk kepada para pengguna untuk mendapatkan bekalan air bersih apabila bekalan air pulih seperti sediakala. Selain itu, SYABAS turut menanggung kerugian akibat vandalisme yang dilakukan para pengguna. Perbuatan sebegini adalah satu kesalahan di bawah Akta Industri Pembekalan Air 2006 dan boleh dikenakan penalti yang tinggi.
Selain dari itu, bagi mendapatkan maklumat lengkap berhubung pelan catuan yang dilaksanakan ini seperti kawasan terlibat dan jadual catuan bekalan air, para pengguna disarankan untuk terus melayari laman web SYABAS (www.syabas.com.my) dari masa ke semasa.
No comments:
Post a Comment