Friday, September 17, 2010

Penubuhan JMB : Kerajaan Negeri Sediakan Garis Panduan

SHAH ALAM, 3 Februari – Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abd Samad berkata kerajaan negeri telah menyediakan satu garis panduan dan rujukan khas yang lebih jelas berkaitan penubuhan Badan Pengurusan Bersama (JMB) di negeri ini.

Menurutnya, garis panduan baru yang berkuatkuasa serta-merta itu perlu bagi memastikan hak pembeli dilindungi berikutan kaedah kepada Akta Bangunan dan Harta Bersama (Penyelengaraan dan Pengurusan) 2007 iaitu di bawah Akta 663 masih belum ada sehingga kini.

“Kerajaan negeri sebelum ini mendapat banyak aduan daripada pembeli-pembeli mengenai perlaksanaan mesyuarat pertama JMB yang dibuat pemaju yang tidak memberi hak secara telus kepada pembeli termasuklah menidakkan kepentingan mereka dalam urusan peyelenggaraan bangunan kediaman,” katanya dalam sidang akhbar mengenai Prosiding Mesyuarat Pertama JMB Bagi Semua Kawasan Pemaju Strata Negeri Selangor di Bilik Mesyuarat Kekwa, Seksyen Sektoral, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini petang tadi.

Katanya, bagi memastikan pembeli tidak terus ditindas oleh pemaju, kerajaan negeri telah mewujudkan garis panduan yang lebih jelas mengenai prosiding mesyuarat pertama JMB melibatkan penyertaan pemilik rumah dan pemaju secara adil.

“Ia bagi melicinkan sebarang urusan berkaitan bangunan kediaman antara pemilik rumah dengan pemaju,” katanya.

Menurut Iskandar,sebanyak lima garis panduan yang perlu diikuti JMB untuk mengadakan mesyuarat.

“Lima kaedah yang ditetapkan ialah dari segi kaedah penyerahan notis kepada pemilik rumah; lantikan pengerusi; penetapan tarikh, masa dan tempat; tarikh akhir pembayaran caj dan wakil layak hadir,” katanya.

Menurutnya, bagi kaedah penetapan tarikh, masa dan tempat mesyuarat hendaklah diadakan pada hari tidak bekerja yang tidak jatuh pada atau selepas perayaan.

Jelas Iskandar lagi, kerajaan negeri juga akan menyediakan garis panduan lain di bawah akta sama dan dijadualkan siap dalam tempoh tiga bulan lagi.

Dalam perkembangan yang sama, Iskandar berkata mana-mana pemaju yang masih gagal menubuhkan JMB di negeri ini akan didakwa.

Katanya, kegagalan itu boleh mengakibatkan pemaju dikenakan denda sehingga RM10,000. – MURIZA ABDUL HAMID

sumber : Selangor Kini


No comments:

Post a Comment