Monday, January 3, 2011

193 kes denggi dalam tiga minggu di Shah Alam

193 kes denggi dalam tiga minggu di Shah Alam

Monday, 01 February 2010 | Ruangan: Berita

SHAH ALAM 1 Feb: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerima 193 laporan kes demam denggi di seluruh kawasan pentadbirannya sepanjang tiga minggu pertama Januari lalu.

Daripada jumlah itu, 86 kes disahkan positif menghidap demam denggi, 77 membabitkan kes demam denggi (DD), manakala sembilan kes demam denggi berdarah (DDB).

Pegawai Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad, berkata antara kawasan yang dikenal pasti mencatatkan bilangan kes demam denggi yang tinggi ialah Seksyen U2 (TTDI Jaya), Seksyen U7, Seksyen U12 (Desa Alam) dan Seksyen 7.

Sepanjang tempoh sama, katanya, MBSA membuat pemantauan dan mengadakan pemeriksaan di 2,220 premis, termasuk rumah kediaman, kedai, sekolah, kilang, tadika, tapak binaan, projek perumahan terbengkalai, tempat pembuangan sampah, taman permainan dan rekreasi serta tempat yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

“Hasil pemeriksaan mendapati 108 premis positif menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes dan mengeluarkan 69 kompaun mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976 (AKT 1976). Mereka yang sabit kesalahan boleh dikenakan kompaun RM500.

“Kami juga melakukan semburan kabus di 39,745 premis untuk mengawal pembiakan Aedes daripada merebak. Langkah proaktif ini selaras arahan kerajaan supaya pihak berkuasa tempatan mengambil langkah pencegahan awal bagi memastikan tempat pembiakan aedes dihapuskan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Shahrin berkata, daripada pemerhatian pihaknya, punca utama pembiakan Aedes adalah disebabkan sikap cuai masyarakat yang gagal menjaga persekitaran kediaman dengan baik apabila sampah sarap seperti tin dan botol tidak dibuang secara sempurna, selain membiarkan kolah mandi dan pam tandas bertakung.

Sehubungan itu, katanya, MBSA menggalakkan penduduk mengadakan gotong-royong secara berkala untuk membersihkan kawasan kediaman seperti membersihkan longkang dan semak-samun.

Katanya, MBSA terbabit secara langsung untuk menyediakan tenaga kerja dan pelbagai peralatan gotong-royong seperti lori sampah, penyapu, sabit, parang dan cangkul.

“MBSA juga kerap mengadakan komunikasi secara bersemuka iaitu memberi ceramah atau dialog bersama penduduk, mengadakan perbincangan kecil bersama penduduk dan pekedai untuk berbincang mengenai bahaya aedes serta langkah pencegahan.

“Penjualan `abate’ di tempat awam seperti stesen minyak, pasar raya (bahagian racun serangga), kedai, kedai perkakasan juga digalakkan bagi memudahkan orang ramai mendapatkannya untuk membasmi aedes,” katanya.

Dipetik dari SelangorKini Online

No comments:

Post a Comment