Monday, December 13, 2010

Pembersihan Stiker 'AH LONG' pada 'feeder pillar' TNB & Artikel Ah Long Durjana!!!

Pihak Pengurusan amat memandang serius terhadap segala bentuk iklan haram yang ditampal di dinding-dinding bangunan dan di kawasan sekitar.

Iklan-iklan tersebut bukan sahaja mencemarkan kawasan kita malah mencerminkan siapa diri kita. Oleh itu anda boleh lihat sendiri kawasan dinding rumah anda di PKS7 di bawah pengurusan kami ini.. bagaimana? bersihkan? Kami berharap agar anda kekalkan kebersihan tersebut...

Kepada sesiapa sahaja yang bercita-cita menampal iklan haram di dinding-dinding bangunan, sama ada iklan sewa-beli rumah, iklan sewa kereta, iklan ah long, iklan perniagaan atau apa-apa saja iklan, iklan anda hanya akan bertahan 1 hari sahaja kerana pada keesokkan harinya pihak pekerja pembersihan dan penyelenggara yang ditugaskan menjaga setiap blok akan menanggalkan iklan anda..

Disamping itu, pihak pengurusan amat menyanjung sikap bertanggung-jawab Pihak TNB memanggil kontraktor mereka membersihkan pelekat(stiker) ah long yang mencemari 'feeder pillar' mereka... saksikanlah...

Tarikh kerja dilakukan:-
13 Disember 2010

Gambar sebelum pembersihan:
-


Gambar semasa pembersihan dilakukan:-

Gambar setelah pembersihan dilakukan & dicat baru:-


Gambar terteranya tanda amaran :-







SEKALI LAGI SYABAS KEPADA PIHAK TNB KERANA MENGAMBIL INISIATIF YANG AMAT BERFAEDAH KEPADA SEMUA MASYARAKAT KHASNYA PENDUDUK DAN PELAWAT PKS7. DIHARAP AKTIVITI TERSEBUT BERKEKALAN HENDAKNYA...

Di sini Pihak Pengurusan ingin menambah beberapa artikel terhadap bahaya meminjam ah-long.


Ah Long Durjana, Anda Jangan Mudah Tertipu


ABSTRAK :

Berikutan kejadian ah long yang bertindak ganas dengan mengurung dan merantai tiga peminjam seperti binatang di sebuah rumah kedai di Taman Perindustrian Bukit Serdang pada Mei lalu sememangnya telah membuka mata banyak pihak tentang betapa bahayanya kegiatan ah long. Tindakan di luar perikemanusiaan oleh ah long ini seharusnya mampu menyedarkan masyarakat bahawa jika tidak di kawal, kegiatan mereka ini akan menggugat keamanan serta memporak perandakan institusi masyarakat.

Dalam kejadian tersebut mangsa hanya dibekalkan dengan sebuku roti untuk setiap dua minggu dan terpaksa minum air paip dalam bilik kecil yang dilengkapi tandas itu. Malah, mereka turut dijadikan seperti hamba apabila dirotan jika cuba merayu, membuat bising atau meninggikan suara. Wang yang dipinjam cuma di antara RM1,500 dan RM4,000 sahaja. Walaupun jumlah hutang itu sedikit, mangsa akan diperlakukan dengan zalim di mana mereka dikurung dan dirantai selain ditambah dengan pelbagai penyeksaan lain yang tidak pernah kita dengar sebelum ini.

Ini menunjukkan golongan ah long kini semakin berani melaksanakan hukuman sendiri, walhal hukuman itu sebenarnya tidak setimpal dengan kesalahan kegagalan membayar jumlah hutang tersebut.

Perdana Menteri YAB Datuk Seri Najib Tun Razak yang terkejut dengan pendedahan kekejaman ah long ke atas peminjam mereka, mengarahkan pihak berkuasa bertindak segera ke atas kumpulan ceti haram tersebut.

Sehubungan itu Perdana Menteri mengingatkan orang ramai supaya menjadikan peristiwa ah long merantai leher dan kaki tiga mangsa mereka yang dilaporkan meluas di akhbar-akhbar tempatan hari ini sebagai satu iktibar.

Orang ramai juga telah sedia maklum bahawa kewujudan ah long ini bukanlah satu perkara baru dan boleh mengakibatkan kezaliman. Di mana silapnya sehingga kekejaman ah long seperti ini boleh terjadi? Mengapa masih ramai yang yakin dengan pinjaman dari ah long.?

Kenapa masih ada masyarakat yang sanggup berurusan dengan ah long, sedangkan mereka tahu kesan dan risiko yang bakal dihadapi bukan sahaja diri sendiri, malah ahli keluarganya jika gagal melunaskan hutang.

Pinjaman Wang Berlesen

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya tidak pernah mengiktiraf kewujudan ah long dengan mengeluarkan permit kebenaran memberi pinjaman. Orang ramai perlu menggunakan medium yang dibenarkan seperti bank, koperasi dan juga Pemberi Pinjaman Wang Berlesen (PPWB) yang berada di bawah kelolaan Kementerian. Ini bagi mengelakkan sebarang musibah yang tidak diingini dari kegiatan ah long.
Sepatutnya, kita lebih percaya kepada institusi kewangan berlesen yang dibenarkan oleh kerajaan untuk menyelesaikan beban hutang.

Banyak skim pinjaman yang diwujudkan oleh bank-bank tempatan. Namun, semakin banyak skim yang ada, semakin banyak juga rakyat kita yang lebih tertarik kepada ah long.

Hal ini juga perlu diberi perhatian. Kenapa orang lebih suka meminjam dengan ah long dan tidak dengan bank. Adakah begitu banyak prosedur yang perlu dipenuhi jika ingin meminjam daripada bank.

Kemerosotan Ekonomi
Ah long mengambil kesempatan dari kemerosotan ekonomi yang melanda negara dan seluruh dunia untuk menarik lebih ramai mangsa untuk berhutang dengan mereka. Kegiatan ah long di Malaysia sudah wujud sejak sekian lama tetapi mereka kini semakin berani bertindak di luar batasan,

Sikap masyarakat sendiri yang masih percaya dan sanggup meminjam wang dengan ah long menyebabkan gejala ini tidak dapat diatasi sepenuhnya.

Adalah tidak dinafikan mereka yang terdesak dan mengalami masalah kewangan sering hilang pertimbangan untuk berfikir, sehingga ada yang sanggup mempertaruhkan nyawa dan keselamatan mereka.

Jalan paling mudah dan cepat bagi mereka yang bermasalah ialah menghubungi mana-mana nombor syarikat pinjaman ini (yang kononnya berlesen) untuk menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi.

Untuk mencari ah long ini pula bukannya susah, malah mereka kini semakin senang dihubungi apabila nombor-nombor ah long begitu mudah diperolehi menerusi poster, kain rentang dan kad edaran di mana-mana jua ketika ini.

Kekejaman ah long

Bukannya masyarakat kita tidak tahu kekejaman yang dilakukan oleh ah long selama ini, sekiranya hutang gagal dilunaskan dalam tempoh yang ditetapkan. Masyarakat sebenarnya tahu tetapi mereka mengambil sikap seolah-olah tidak tahu kesannya dan terus meminjam daripada ah long.


Sering kali berita-berita mengenai kesengsaraan yang dihadapi mangsa ah long dipaparkan oleh media massa, namun budaya meminta tolong daripada ah long ini masih berlaku. Masalah ini bukan melibatkan satu kaum tertentu sahaja tetapi semua kaum yang mempunyai masalah kesempitan kewangan. Ah long juga bertindak di luar batas kemanusiaan dengan melakukan jenayah kekerasan terhadap mangsa.

Mereka mewujudkan lokap tahanan sendiri, menghukum mangsa-mangsa itu sesuka hati dengan hukuman tidak sepatutnya dilakukan kepada manusia bertamadun pada zaman ini.

Tanggapan /Kemudahan pinjaman ah long

• Ah long tidak meminta banyak dokumen ketika permohonan untuk membuat pinjaman. Pinjaman melaluinya hanya memerlukan kad pengenalan dan buku bank. Ini sudah memadai dan mencukupi syarat pinjaman dan dalam masa yang singkat wang berpindah tangan kepada peminjam.

• Oleh kerana keperluan mendapatkan wang lebih mendesak, maka si peminjam tidak menghiraukan syarat-syarat lain termasuk yang boleh mengancam nyawa mereka.

• Perniagaan yang ingin diceburi itu diyakini mempunyai prospek yang cerah. Sudah tentu tiada kebimbangan tentang keupayaan membayar balik pinjaman.

• Kajian pihak polis menunjukkan bahawa kebanyakan mereka yang terlibat dengan pinjaman ini menjalankan kegiatan jenayah termasuk pengedaran dadah, pelacuran dan perjudian.

• Terdapat beberapa syarikat peminjam wang berlesen kini terlibat dalam kegiatan ah long.

• Peminjam-peminjam yang mempunyai rekod bayaran balik yang baik, akan ditatang macam minyak yang penuh kerana ah long akan mendapat keuntungan daripada peminjam jenis ini. Biasanya terdiri daripada kalangan peniaga termasuk kontraktor.

• Banyak projek pembangunan berjalan rancak kerana pemajunya membuat pinjaman dengan ah long. Malah kebanyakan projek kecil yang berjaya disiapkan dengan cepat disebabkan pemajunya mendapat pinjaman daripada "ceti haram" tersebut.

Modus Operandi ah long

• Modus operandi sindiket itu ialah dengan mengurung mangsa sekiranya gagal membayar hutang sehinggalah ahli keluarga mereka melunaskannya.

• Kebanyakan peminjam terdiri daripada peniaga kecil dan juga kaki judi . Setiap pinjaman dikenakan bunga yang tinggi dan peminjam pula dikehendaki membayar semula secara harian ataupun dalam tempoh tertentu. Kalau tersangkut, maka semakin tinggi bunga pinjaman itu.

• Keuntungan perniagaan pinjaman wang akan mempelbagaikan rangkaian kegiatan haram mereka termasuk perjudian, pelacuran, vcd cetak rompak, nombor ekor dan banyak lagi.

• Cara mereka berkembang bermula dari kecil-kecilan akhirnya mereka mampu menjadi organisasi yang besar. Peminjam wang bukan sahaja terdiri daripada peniaga kecil atau kaki judi tetapi juga di kalangan profesional dan syarikat besar.

• Pinjaman haram yang dikendalikan golongan ah long kini dikatakan semakin berani apabila mereka menggunakan beberapa laman web yang diwujudkan khas untuk mencari mangsa. Kumpulan ah long kini turut mengiklankan laman web mereka itu dalam akhbar berbahasa Cina di negara ini. Penggunaan laman web ini merupakan taktik terbaru digunakan oleh ah long untuk mengumpan mangsa.

Cadangan dan Tindakan Kerajaan

• Kementerian Dalam Negeri akan berterusan membanteras kegiatan Ah Long dan melancarkan tindakan bersepadu yang melibatkan aktiviti kempen dan publisiti serta penguatkuasaan undang-undang. Tindakan bersepadu itu melibatkan KDN, Kementerian Kewangan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Penerangan, Komunikasi, dan Kebudayaan, Polis Diraja Malaysia, Majlis Keselamatan Negara serta Suruhanjaya Multimedia.

• Mesyuarat Pasukan Khas Mencegah Ceti Haram yang diadakan pada 28 Disember 2006 telah mewujudkan persefahaman di antara pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Kedua pihak telah bersetuju supaya KPKT memberi tumpuan ke atas Penguatkuasa Pemberi Pinjam Wang Berlesen sahaja manakala pihak PDRM menjalankan penguatkuasaan ke atas ah long yang kegiatannya lebih berbentuk jenayah.

• Penyebaran maklumat mengenai keganasan ah long akan diperluaskan melalui media massa supaya orang awam mengetahui kesan buruk meminjam daripada ah long.

• Kerajaan melalui agensi-agensi seperti Mara, Tekun dan banyak agensi lain sememangnya sentiasa membuka peluang kepada usahawan kecil Bumiputera bagi mendapatkan pembiayaan modal tambahan bagi meningkatkan perniagaan yang dijalankan bagi mengelakkan usahawan kecil membuat pinjaman dari ah long.

• Kerajaan akan menarik balik lesen syarikat pinjaman kredit berdaftar yang didapati terbabit dalam kegiatan ah long atau ceti haram.

• Operasi pembersihan iklan pinjaman ah long yang turut dilakukan serentak di seluruh Ibu Pejabat Polis Daerah memberi isyarat kepada kumpulan ah long supaya menghentikan kegiatan mereka. Ini juga bertujuan mendidik masyarakat supaya tidak membuat pinjaman dengan pihak terbabit.

CADANGAN
• Kerajaan juga akan meminta pihak-pihak terbabit meneruskan usaha memberi motivasi dan kesedaran khususnya kepada usahawan dan bakal usahawan Bumiputera agar tidak mudah terpengaruh dengan pinjaman ah long untuk membuka premis dan meluaskan perniagaan mereka.

• Salah satu kaedah lain yang perlu disegerakan adalah dengan memudahkan skim pinjaman dengan sistem bayaran balik yang tidak membebankan para peminjam.

• CUEPACS hari ini menggesa institusi kewangan menyediakan peruntukan khas bagi memberi pinjaman peribadi kepada petugas awam yang terperangkap dengan pinjaman wang ah long.

• Selain mewujudkan skim pinjaman khas kepada golongan yang tidak memiliki pekerjaan tetap, kerajaan juga patut mewujudkan skim pinjaman khas untuk para usahawan yang muflis bagi menebus kegagalan mereka.

• Para usahawan yang muflis mampu bangkit dari kegagalan jika diberi dana pemulihan yang mencukupi kerana pengalaman gagal boleh dijadikan panduan dan teladan untuk membina kejayaan baru.

• Dalam pada kita terus bertegas bagi memerangi habis-habisan kegiatan ah long ini, langkah drastik lain juga perlu diberi perhatian wajar seperti mengambil tindakan undang-undang kepada peminjam wang ah long dalam usaha membasmi kegiatan ceti haram itu.

Orang ramai boleh membuat aduan rasmi terus kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengenai perkara itu di talian 03-20992390 atau e-mel kepada bpwg@kpkt.gov.myAlamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya dan identiti pengadu akan dirahsiakan.

Skim Pinjaman Bank

• Pihak institusi kewangan dan kerajaan akan melihat semula kaedah pemberian pinjaman ini agar ia tidak terlalu ketat dan menyukarkan golongan peminjam untuk berbuat demikian.

AKTA
• Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang mengenakan hukuman lebih berat akan digunakan untuk mendakwa ceti haram atau ah long.

• Akta ini telah dipinda pada Januari 2008 supaya kesalahan melibatkan ah long juga boleh disiasat di bawah akta ini jika aktiviti mereka berkaitan dengan penggubahan wang haram.

• Akta tersebut mengenakan denda maksimum sehingga RM5 juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali ke atas ah long yang didapati bersalah.

• Dua lagi akta yang digunakan ke atas ah long ialah Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 dan Akta Pencegahan Jenayah 1959. Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 mengenakan denda antara RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara

• Kerajaan juga mengalu-alukan bekas mangsa ah long membantu kita menyedarkan orang ramai mengenai akibat buruk meminjam daripada ceti haram ini.

• Ah long juga boleh dihukum buang daerah atau dikenakan perintah di bawah Akta Kediaman Terhad 1959 jika kesalahan mereka dikatakan tidak melibatkan kekerasan jenayah atau tiada bukti kukuh tentang penglibatan mereka.

• Sekiranya membabitkan kekerasan, mereka juga boleh ditangkap di bawah Ordinan Darurat dan boleh ditahan di penjara selama dua tahun.

Kesimpulan
• Meminjam dengan cara wang cepat ini bukanlah jalan terbaik untuk indivisu, peniaga dan usahawan kerana banyak risiko yang bakal mereka hadapi dengan golongan pemberi pinjaman yang mencekik darah ini.

• Rakyat perlu dididik dengan diberi penerangan dan pemahaman yang mendalam terhadap risiko pinjaman ah long ini agar mereka tidak terpedaya.

• Kemudahan pinjaman dengan mudah perlu diberikan kepada orang ramai orang ramai supaya mereka tidak beralih kepada ah long.

• Pinjaman ah long yang memberi kesan risiko yang berganda kepada peminjam tersebut perlu diperjelaskan kepada orang ramai supaya tidak mengikut jalan yang mudah namaun mempunyai rosiko yang besar.

• Kegagalan melunaskan hutang ah long juga turut menyumbang kepada banyak kes jenayah yang lain. Selama ini tumpuan dan tindakan hanya ditujukan pada golongan ah long semata-mata. Namun, kini pihak berkuasa perlu juga mengambil kira faktor penggalak kepada kegiatan tersebut iaitu peminjam itu sendiri.


Sumber:
Akhbar Utusan Malaysia
Harian Metro
Berita harian
NST
Malay Mail

Sumber artikel: http://pmr.penerangan.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=4253:ah-long-durjana-anda-jangan-tertipu&catid=404:keselamatan

No comments:

Post a Comment