ISMADI
ISMAIL
18
Oktober 2012
[DIKEMAS KINI, JAM
12 TENGAH MALAM] SHAH ALAM - Seorang pekerja ubah suai
rumah maut manakala lima yang lain selamat dalam kejadian konkrit banglo di
Seksyen 7 di sini, yang masih dalam proses pengubahsuaian, runtuh kira-kira jam
4.30 petang tadi.
Bagaimanapun seorang daripada lima
mangsa yang selamat terputus kaki dan telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan
Rahimah, Klang untuk rawatan.
Kesemua mangsa merupakan pekerja dari
Indonesia, berusia dalam lingkungan 30-an.
Kejadian berlaku di Jalan JED, 7/5,
Seksyen 7, berhadapan dengan Kolej Kediaman Jati, Universiti Teknologi Mara
(UiTM).
Mangsa dikeluarkan secara berperingkat
sejak jam 4.50 petang tadi dengan bantuan bomba. Kerja-kerja mencari dan
menyelamat masih diteruskan.
Sementara
itu, laporan Bernama dipetik berkata, polis
mengesahkan mangsa sebenar kejadian runtuhan bumbung konkrit sebuah banglo
hanya melibatkan enam pekerja binaan warga Indonesia.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP
Zahedi Ayob berkata, pada mulanya, pihaknya mendapat maklumat terdapat lapan
pekerja terperangkap dalam kejadian itu tetapi kemudian dimaklumkan rakan
sekerja mereka dikenali sebagai Supardi bahawa hanya enam mangsa yang terlibat.
Mangsa terakhir dikenali sebagai
Kasmuji berjaya diselamatkan pada 10.15 malam dan dihantar ke Hospital Sungai
Buloh untuk rawatan.
Dalam kejadian petang tadi, seorang
buruh binaan yang dikenali sebagai Totok Mochamad Anthony maut.
Mayat mangsa dikeluarkan pasukan penyelamat
kira-kira 6.24 petang dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk bedah
siasat.
Empat lagi pekerja binaan berusia
lingkungan 30-an yang dikenali sebagai Afifin, Waras, Kabir dan Ghadami, yang
putus kaki kanan, turut dihantar ke hospital itu.
Polis menerima panggilan kecemasan
daripada orang awam pada kira-kira 4.29 petang berhubung kejadian di banglo No.
15, Jalan Jed 7/5A, Seksyen 7, milik seorang ahli perniagaan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba
dan Penyelamat Selangor, Othman Abdullah berkata, operasi menyelamat dihentikan
pada 10.45 malam selepas mangsa keenam dibawa keluar dari runtuhan.
Beliau berkata, pihaknya menggunakan
kren dengan kekuatan 40 tan bagi mengangkat runtuhan konkrit selain membuat
terowong secara manual untuk menyalur bantuan gas oksigen kepada mangsa
terakhir sebelum dibawa keluar.
"Konkrit agak berat termasuk
dengan timbunan batu dan bomba terpaksa memotong beberapa bahagian runtuhan
dalam keadaan sempit, kren pertama yang kita gunakan ialah bagi kekuatan 10 tan
dan tidak membantu," katanya.
Beliau berkata, pihak bomba memanggil
mangsa namun tidak disahut dan tiada sebarang tindak balas bagi mengesahkan
masih ada yang terperangkap di bawah runtuhan itu.
Othman juga berkata, kerja pembersihan
di kawasan runtuhan itu akan diteruskan sepanjang malam ini.
Operasi menyelamat, yang bermula
kira-kira 5 petang, diteruskan walaupun hujan lebat bermula 9 malam.
Selain itu, khidmat anjing pengesan
Unit K9, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor digunakan sepanjang operasi
tersebut.
Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, ketika kejadian
beliau sedang membaca akhbar dan mendengar bunyi dentuman kuat dari arah depan
rumahnya.
“Mula-mula saya lihat tidak serius,
hanya debu sahaja kelihatan. Tetapi setelah melihat bumbung rumah tersebut
runtuh.
“Saya terus hubungi bomba dan Jabatan
Pertahanan Awam Malaysia untuk maklumkan kejadian,” katanya ketika
ditemui di lokasi kejadian.
No comments:
Post a Comment