Monday, December 7, 2009

Seminar Pemahaman JMB

Seminar Pemahaman JMB Bantu Komuniti Urus Dan Selenggara Bangunan
Sabtu, 05 December 2009

SHAH ALAM 5 Dis. -Bagi meningkatkan mutu dan taraf kualiti pengurusan dan penyenggaraan di kawasan pemajuan bertingkat, Kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor(LPHS) hari ini menganjurkan seminar Pemahaman Jawatankuasa Pengurusan Bersama(JMB).

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad berkata program seperti ini perlu diadakan bagi membantu peserta mempelajari dan memantapkan lagi pemahaman mengenai cara mengurus dan menyenggarakan bangunan dengan lebih berkesan.

“Adalah menjadi matlamat kerajaan negeri supaya seminar seperti ini dapat disertai oleh setiap ahli JMC dan penduduk agar pemahaman peranan,tugas dan tanggungjawab pengurusan dan penyenggaraan kawasan masing-masing menjadi lebih mudah dan efisyen,” katanya.

Iskandar berkata demikian semasa berucap merasmikan Seminar Pemahaman Jawatankuasa Pengurusan Bersama Peringkat Negeri Selangor di Hotel De Palma,Shah Alam, pagi tadi.

Hadir sama Pengarah Eksekutif HPLS,Alina Ahmad.

Seminar sehari ini dihadir lebih 300 peserta yang terdiri daripada ahli majlis, JMB dan penduduk kawasan pemajuan bertingkat seluruh Selangor.

Antara pengisian seminar termasuklah pemahaman mengenai Akta Bangunan dan Harta Bersama(Pengurusan dan Penyenggaraan 2007,Akta 663), asas-asas perakaunan, perkongsian pengalaman daripada JMB yang berjaya dan kaedah serta panduan penting mengenai pengurusan dan penyenggaraan harta bersama.

Dalam majlis sama, Iskandar turut menyampaikan sijil dan hadiah kepada pemenang program Anugerah Komuniti Terbaik Pemajuan Berstrata Negeri Selangor.

Katanya, anugerah yang mula diperkenalkan Oktober lalu bertujuan untuk memberi galakan kepada semua JMB agar bergiat aktif dan bersaing secara sihat dalam menjaga keharmonian dan kebersihan kawasan masing-masing.

“Program ini diadakan untuk membentuk dan mewujudkan unit-unit komuniti yang pro aktif dengan mengekalkan keselesaan persekitaran perumahan dan kesejahteraan kaum,” katanya.

Katanya sebanyak 27 kawasan telah berjaya melepasi saringan akhir melibatkann 3 kategori iaitu pangsapuri kos rendah, sederhana dan tinggi.

Sumber: http://www.selangorkini.com.my/my/berita/7989

Seminar tersebut telah dihadiri oleh 7 orang AJK pihak JMB "PK SEK: 7 COMMITTEE" dan dalam seminar tersebut pihak kami telah menerima ANUGERAH JMB bergred 'BAIK' di dalam program Anugerah Komuniti Terbaik Pemajuan Berstrata Negeri Selangor, Syukur Al-hamdulillah...


Friday, November 13, 2009

PUSAT KOMERSIL SEKSYEN 7 BANJIR KILAT







Pada 12/11/2009 telah berlaku kejadian banjir dan mengakibatkan surau ditenggelami air hampir satu kaki. Beberapa kenderaan seperti motosikal dan kereta ditenggelami air. Di atas keperihatinan Pihak pengurusan dan beberapa ahli jawatankuasa telah membantu mengalih kenderaan tersebut di tempat selamat.


Susulan dari itu aduan telah dilaporkan kepada pihak Majlis Bandaraya Shah Alam dan mereka berjanji akan membuat pemantauan serta tindakan bagi membaiki saluran longkang yang tersumbat akibat dari tanah runtuh serta kerja-kerja pembangunan berdekatan.

Wednesday, October 28, 2009

Pembaikan Kebocoran Pada Bumbung Bangunan Bocor


Pengurusan JMB “PK SEK: 7 COMMITTEE” menerima banyak aduan daripada pemilik unit/penghuni bahawa apabila hujan rumah ditingkat atas sekali akan mengalami kebocoran .


Pemeriksaan mendapati banyak atap bumbung renggang atau pecah. Bertindak atas aduan maka pihak pengurusan telah memanggil kontraktor untuk membaiki masalah tersebut dan akan menilai serta membaiki dari masa ke semasa.


Pihak JMB telah mengupah pekerja Indonesia untuk membaiki kesemua bumbung dan telah menuntut kos tersebut daripada pihak pemaju. Surat tuntutan kepada pihak pemaju yang bertarikh 20 Januari 2010 telahpun dihantar. Pembaikan dilakukan pada 26/10/2009.


status: Selesai

Tuesday, October 13, 2009

Menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya & Majlis Perkahwinan Anggota Balai Polis Seksyen 7


Pihak pengurusan JMB “PK SEK: 7 COMMITTEE” turut memberi kerjasama dan sokongan pada majlis sambutan jamuan sempena hari raya yang diadakan di Balai Polis seksyen 7 dan turut meraikan dua pasang pengantin anggota balai.

Thursday, October 8, 2009

Menyertai Program Komuniti Terbaik Bagi Kawasan Pemajuan Berstrata 2009

Pada awal bulan Oktober 2009, Pihak Pengurusan telah menerima sepucuk surat rasmi daripada pihak MBSA bertarikh 27 Ogos 2009 berkenaan jemputan penyertaan Program Komuniti Terbaik Bagi Kawasan Pemajuan Berstrata 2009. Sebanyak 80 JMB sekitar selangor telah dijemput untuk menyertai pertandingan tersebut.

Pihak Pengurusan telah menghubungi Pengerusi, AJK dan mereka amat berbesar-hati untuk menyertainya kerana dengan ini dapat berinteraksi dengan JMB-JMB seluruh Negeri Selangor disamping bertukar-tukar pendapat dan memperbaiki segala kelemahan yang ada.

Berbalik kepada surat tersebut, berikut adalah beberapa isi kandungan surat:-

Sukacita dimaklumkan bahawa kerajaan Negeri selangor akan mengadakan Program Anugerah Komuniti Terbaik bagi Kawasan Pemajuan Berstrata Negeri Selangor 2009. Program ini bertujuan mewujudkan jaringan komuniti yang erat, sihat dan sejahtra di samping meningkatkan kesedaran di kalangan penduduk agar mengekalkan persekitaran perumahan yang bersih dan cantik.

Objektif Program adalah seperti berikut:-
  1. Sebagai galakan agar semua Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) bergist sktif & bersaing secara sihat dalam menjaga keharmonian dan kebersihan kawasan masing-masing;
  2. Membentuk dan mewujudkan unit-unit komuniti yang pro-aktif dengan mengekalkan keselesaan persekitaran perumahan dan kesejahteraan kaum; dan
  3. Mewujudkan model perumahan-perumahan pangsa terbaik di Negeri Selangor.
  4. Bersama-sama ini disertakan syarat-syarat dan garis panduan kelayakan bagi menyertai program in. Untuk makluman tuan/puan, borang penyertaan hendaklah dihantar ke Bahagian Pesuruhjaya Bangunan (COB) sebelum atau pada 23 September 2009.
Pautan kepada borang penyertaan: http://lphs.selangor.gov.my/Anugerah.html

Wednesday, September 30, 2009

Restoran ganggu penduduk?

Sumber: Utusan Malaysia Online

Restoran ganggu penduduk?
Oleh Rasmi Abdullah

SALAH sebuah restoran 24 jam yang beroperasi di kawasan perumahan Pusat Komersial Seksyen 7 Shah Alam, Selangor.


SHAH ALAM 28 Sept 2009. - "Kawasan ini kalau dilihat memang boleh dianggap syurga makanan bagi mereka yang mahu menjamu selera tetapi bagi kami di sini, ia umpama neraka".

Itulah keluhan penduduk kawasan perumahan Pusat Komersial Seksyen 7 di sini apabila kawasan kediaman mereka dipenuhi dengan kedai makan yang beroperasi 24 jam.

Mereka mendakwa, kewujudan 24 buah restoran 24 jam di kawasan itu menyebabkan kawasan tersebut menjadi tumpuan orang ramai sepanjang masa sehingga ketenteraman penduduk di situ terganggu.

Malah, penduduk mendakwa pengunjung kedai makan berkenaan bersikap tidak peduli serta tidak menghormati penduduk dengan membuat bising tanpa mengira waktu termasuk pada awal pagi ketika mereka hendak tidur.

Setiausaha Badan Pengurusan Bersama (JMB) Pusat Komersial Seksyen 7 Shah Alam, Mohd. Razib Mustafa berkata, keadaan akan bertambah teruk apabila premis-premis makanan berkenaan menayangkan perlawanan bola sepak terutama ketika lewat malam.

"Kalau pasukan yang mereka sokong menjaringkan gol, penyokongnya akan menjerit sama seperti mereka berada di stadium. Ketika itu, saya rasa seperti tidur di tengah-tengah stadium bola pula.

"Kita yang dewasa ini tak apalah kalau terjaga pada waktu begitu (lewat malam) tetapi macam mana dengan anak-anak kecil yang tidak tahu apa-apa, lebih sukar lagi apabila ada keluarga yang mempunyai bayi," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Tambah Mohd. Razib, pengusaha premis makanan 24 jam itu juga didapati mengubah suai kedai mereka sehingga ke koridor pejalan kaki menyebabkan lalu lintas di kawasan itu terganggu.

Dakwanya, ada sesetengah tangga yang digunakan penghuni untuk naik ke rumah mereka juga telah digunakan oleh pengusaha premis terbabit untuk meletakkan barang-barang perniagaan mereka.

Lebih menyedihkan, katanya, ada setengah-tengah peniaga yang tidak bertanggungjawab membakar sate berhampiran dengan kenderaan mereka termasuklah menggunakan tapak letak kereta penghuni untuk meletakkan kerusi meja mereka.

"Tindakan tidak bertanggungjawab ini menyebabkan tempat letak kereta tidak mencukupi dan kadang kala ada penduduk terpaksa meletak kenderaan di tengah-tengah jalan," jelasnya.

Katanya lagi, walaupun aduan telah dilakukan kepada pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada Januari lalu tetapi tiada sebarang tindakan daripada pihak berkuasa tempatan berkenaan sehingga ke hari ini.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa JMB, Saharuddin Lin, 44, pula berkata, kegusaran mereka memuncak pada hujung minggu kerana pada waktu itu kawasan tersebut sesak dengan kenderaan.

Kata Saharuddin, pengunjung premis makanan itu akan meletakkan kenderaan mereka secara sesuka hati sehingga menyebabkan jalan yang sepatutnya mempunyai dua lorong bertukar menjadi satu lorong sahaja.

"Keadaan seperti ini dikhuatiri mengundang kemalangan jalan raya. Saya sudah lihat sudah banyak kemalangan yang berlaku di sini," ujar beliau.

"Saya sendiri sudah banyak kali disaman oleh penguatkuasa MBSA kerana meletakkan motosikal di tempat yang salah, tetapi sebagai penghuni di situ di mana lagi kami hendak meletakkan kenderaan kalau macam inilah keadaannya," keluh beliau.

Dalam pada itu, seorang lagi Ahli Jawatankuasa JMB, Roslan Razali berharap pihak MBSA menyegerakan pembinaan tempat meletak motosikal kerana dia sudah tidak mampu untuk membayar saman.

Selain itu, beliau juga turut berharap pihak MBSA dapat membuat pemantauan terhadap kedai-kedai makan yang beroperasi 24 jam itu kerana ia amat mengganggu ketenteraman penduduk di situ.

Tuesday, August 25, 2009

Kerajaan Negeri Lancar Program Anugerah Komuniti Terbaik Pemajuan Berstrata Negeri Selangor

Kerajaan Negeri Lancar Program Anugerah Komuniti Terbaik Pemajuan Berstrata Negeri Selangor

Bagi membentuk jaringan komuniti yang sejahtera dan harmoni di negeri ini, kerajaan negeri hari ini melancarkan Anugerah Komuniti Terbaik Pemajuan Strata Negeri Selangor 2009.

Program anjuran Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dikalangan penduduk perumahan strata di Selangor agar mengekalkan persekitaran perumahan yang cantik dan bersih.

Majlis pelancaran program telah disempurnakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid, di Ruang Legar Bangunan SUK, Shah Alam, petang tadi.

Turut hadir, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Negeri Selangor, Iskandar Abdul Samad dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ramli Mahmud.

Berucap pada majlis itu, Khalid yakin program ini sangat bertepatan pada masa ini berikutan peningkatan peratusan bilangan masyarakat pemajuan berstrata di negeri ini yang dilaporkan semakin tinggi.

“Saya yakin program ini sangat relevan dan diperlukan sebagai usaha mengiktiraf sumbangan masyarakat pemajuan strata bagi membentuk komuniti yang sejahtera dan harmoni di Selangor.Usaha seumpama ini secara tidak langsung memberi impak terhadap pengukuhan teras perpaduan rakyat Selangor”,katanya.

Tambahnya berdasarkan rekod Unit Pesuruh Jaya Bangunan bagi semua pihak berkuasa tempatan,sehingga kini terdapat 3,809 kawasan pemajuan strata melibatkan 689,775 petak di seluruh Selangor.

Katanya, kerajaan negeri juga turut menjangka berlaku penambahan jumlah kawasan pemajuan strata dinegeri ini.

“Jangkaan ini berdasarkan andaian iaitu pada tahun 2008 sahaja, sejumlah 12,330 petak kos rendah dan sederhana rendah diluluskan bagi sembilan kawasan Pihak Berkuasa Tempatan negeri Selangor”,katanya.

Dalam majlis yang sama, Khalid turut melancarkan kempen ‘Pangsapuri Kita Bersih, Ceria dan Harmoni’.

Menurut Abdul Khalid, kempen ini mengambarkan aspirasi kerajaan negeri agar semua bentuk perumahan bertingkat di negeri Selangor berada pada tahap yang standing dengan kualiti kediaman bertingkat di Singapura atau di negara maju lain.

Dalam perkembangan sama kerajaan negeri mengalu-alukan penyertaan dari semua Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) untuk menyertai Anugerah Komuniti Terbaik Pemajuan Berstrata 2009.

Anugerah yang terbahagi kepada tiga kategori iaitu pangsapuri kos rendah, pangsapuri kos sederhana rendah dan pangsapuri tinggi menawarkan hadiah kelengkapan pejabat bernilai RM10, 000.

Bagi yang berminat, borang penyertaan hendaklah di hantar ke Unit Pesuruhjaya Bangunan(COB) Pihak Berkuasa Tempatan sebelum atau selewat-lewatnya pada 30 Oktober2009.

Sumber dari:

http://tvselangor.com/v4/news-section?t=910